Tumpuan :
Nasional

LPT2 kenal pasti 8 lokasi dinaiki air ketika MTL

Foto fail Lebuh Raya Kuala Lumpur – Karak

MARANG: Sebanyak lapan lokasi ‘hot spot’ banjir dikenal pasti di sepanjang Lebuhraya Pantai Timur (LPT2) yang bermula dari Plaza Tol Jabor hingga Kuala Terengganu (Gemuruh) ketika musim Monsun Timur Laut (MTL).

Pengurus Wilayah LPT2, Mohamad Pazli Kassim, ia membabitkan tiga lokasi dalam kawasan lebuh raya sejauh 184 kilometer (KM) iaitu di Persimpangan Bertingkat Bukit Besi dan KM 373 di kedua-dua arah.

Beliau berkata, lima lagi lokasi yang dikenal pasti berisiko dinaiki air adalah di laluan keluar selepas Plaza Tol Cukai dan Plaza Tol Bukit Besi serta tiga lokasi bersebelahan had sempadan lebuh raya.

“Justeru, pengurusan LPT2 menubuhkan Pasukan Tindakan Awal (PTA) sebagai persediaan menghadapi musim MTL.

“Pasukan ini akan menjalankan pemantauan 24 jam di sepanjang lebuh raya berkenaan termasuk di kawasan yang berpotensi dinaiki air serta di kawasan cerun dan saliran,” katanya kepada media pada Program Hari Komuniti MyPlus 2024 di Dataran Batu Putih, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Pazli berkata, pihaknya juga sudah mengambil tindakan mitigasi dengan membina tembok penahan banjir dan memasang penanda aras di tiga lokasi yang dikenal pasti berisiko dinaiki air dalam kawasan lebuh raya berkenaan.

Katanya, PTA yang ditubuhkanakan menjalankan pemantauan berterusan termasuk memantau kawasan cerun dan saliran selain bekerjasama dengan agensi seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

“Pengguna LPT2 dinasihatkan untuk sentiasa peka dengan hebahan maklumat melalui media sosial dan hubungi talian hotline 1800-88-0220.

“Pelan laluan kecemasan alternatif juga sudah dibuat sekiranya laluan dinaiki air tidak boleh dilalui kenderaan,” katanya.

Untuk rekod, LPT2 pernah dinaiki air sehingga 0.7 meter di Persimpangan Bertingkat Bukit Besi dan tanah runtuh pada 2022.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini