Oleh: Hamdi Fahmi Mohamad Zaki
KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) akan terus melaksanakan advokasi bagi memastikan program pendidikan keibubapaan yang dianjurkan, kekal relevan dengan perkembangan semasa.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, pendekatan itu bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran ibu bapa, terutama dalam penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), demi pengukuhan institusi kekeluargaan.
“Pelancaran Pakej KASIH Madani yang merangkumi komponen kemahiran keibubapaan dan risiko penggunaan ICT, seperti KASIH Keibubapaan Digital, Pra Perkahwinan SMARTSTART 2.0, Kem Naungan KASIH dan KASIH Keluarga Ceria, merupakan manifestasi keprihatinan kerajaan dalam menangani isu-isu kekeluargaan yang semakin kompleks,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi jawab lisan di Dewan Negara, di sini, hari ini.
Katanya LPPKN telah membangunkan dua modul utama termasuk Modul Pendidikan Keselamatan Keluarga dan Anak (PEKA) dan Modul KASIH Keibubapaan Digital
“Modul PEKA memberi fokus kepada kesedaran mengenai keselamatan anak di kalangan ibu bapa, penjaga, dan masyarakat. Ia bertujuan untuk memberi kemahiran asas dalam pencegahan kemalangan, menyelamat, rawatan kecemasan serta keselamatan keluarga di alam siber.
“Topik keselamatan di alam siber meliputi isu seperti siber buli, sexting, online grooming, dan kemahiran kawalan ibu bapa (Parental Control),” ujarnya.
Modul ini jelasnya dihasilkan dengan kerjasama rakan strategik seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Tambahnya, kumpulan sasaran modul itu termasuk ibu bapa dengan anak kecil, pengasuh, pemimpin komuniti, serta sukarelawan.
Manakala Modul KASIH Keibubapaan Digital direka untuk memperkasakan ibu bapa dengan ilmu dan kemahiran dalam menguruskan cabaran anak-anak generasi digital.
“Objektif modul ini adalah untuk memupuk nilai dan etika positif dalam alam siber, meningkatkan pengetahuan ibu bapa terhadap cabaran digital, dan memantau penggunaan aplikasi digital dalam kalangan kanak-kanak.
“Modul ini dibangunkan dengan kerjasama pakar-pakar rujuk daripada universiti tempatan dan agensi berkaitan seperti Kulliyah Informasi dan Teknologi Komunikasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Putra Malaysia (UPM), dan CyberSecurity Malaysia,” jelasnya.
Noraini juga berkata, setakat ini LPPKN telah melaksanakan 401 kursus PEKA yang memberi manfaat kepada 11,917 peserta.
Sementara itu, bagi KASIH Keibubapaan Digital, sebanyak 40 kursus telah dijalankan melibatkan 1,129 peserta.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.