Tumpuan :
Nasional

Lori termasuk lorong bertentangan, pengawal keselamatan terkorban

FOTO: Tangkap layar daripada Sabah Revolusi/ Facebook

KINABATANGAN: Seorang pengawal keselamatan maut, manakala enam penumpang cedera dalam satu nahas jalan raya membabitkan sebuah Perodua Viva yang dipercayai dirempuh sebuah lori di Kilometer 77, Jalan Sandakan – Lahad Datu, dekat Bukit Garam, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam jam 8.45 pagi, M. Fadly Shah Meor Zakaria dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Kinabatangan, akibat kecederaan parah serta tersepit.

Manakala enam lagi penumpang Perodua Viva termasuk tiga kanak-kanak yang sedang dalam perjalanan menuju ke Hospital Bukit Garam, dilaporkan turut cedera.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamaluddin berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 8.47 pagi.

Sebaik tiba, didapati seorang mangsa dari Perodua Viva tersepit sebelum dikeluarkan pihak bomba.

“Manakala enam lagi mangsa dari kenderaan sama dilaporkan cedera namun semuanya sudah dihantar ke Hospital Kinabatangan oleh orang awam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Kinabatangan, Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata, sebelum kemalangan, lori 10 tan itu dalam perjalanan menuju Sandakan.

Menurutnya, hasil maklumat mendapati, sebaik lori tiba di lokasi, sebuah kenderaan di hadapannya berhenti mengejut.

“Pemandu dilaporkan tidak sempat mengelak lalu masuk ke lorong bertentangan sebelum bertembung Perodua Viva terbabit.

“Kedua-dua kenderaan kemudiannya terbabas ke bahu jalan, sebelum pemandu Perodua Viva tersepit dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

“Namun, pemandu lori tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Katanya, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Loading...
Terkini