Oleh Baharuddin Mohamed
MELAKA: Seorang pemandu lori cedera selepas kenderaan yang dipandunya terbabas dan merempuh sebuah rumah kosong di Jalan Simpang Gading-Padang Kerbau, Durian Tunggal di sini pagi tadi.
Dalam kejadian jam 11.50 pagi itu, lelaki berusia 30 tahun tersebut cedera akibat tersepit di bahagian tempat duduk pemandu kenderaan muatan tiga tan berkenaan.
Komander Operasi, Penguasa Bomba Kanan II, Fadhil Saidin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.54 pagi sebelum dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh dan Alor Gajah bersama 16 anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian pada jam 12.05 tengah hari, didapati memang benar berlaku kemalangan itu.
“Sebuah lori muatan tiga tan dipercayai terbabas dan melanggar sebuah rumah kosong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Fadhil, anggota dan penyelamat berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat pemandu berkenaan.
Ujarnya, Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) kemudian membawa mangsa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.
Rumah kosong berkenaan, jelasnya, hanya mengalami sedikit kerosakan di bahagian dinding
Tambah beliau, kes berkenaan kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.