@buletintv3 KEMALANGAN | Lori bawa minyak kelapa sawit terbalik di Jambatan Jalan Labis, Segamat, Johor Bahru, hari ini. #BeritaDiTikTok #Kemalangan #Johor
LABIS: Sebuah lori tangki membawa minyak sawit terbalik di Jambatan Jalan Labis, Segamat, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.38 tengah hari, minyak sawit itu tumpah di atas jalan raya dan mengalir masuk ke dalam Sungai Labis.
Kejadian itu dimaklumkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekok, Tan Chong menerusi hantaran di Facebooknya.
Tan Chong berkata, beliau sudah berhubung dengan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, Raven Kumar Krishnasamy, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Alam Sekitar berhubung perkara itu.
“Saya meminta mereka untuk mengambil tindakan pembersihan sisa-sisa minyak dengan segera supaya mengelakkan pencemaran sungai.
“Semua penduduk diminta berhati-hati apabila melalui kawasan kejadian,” katanya.
Tan Chong turut berkongsi beberapa keping gambar dan rakaman video di lokasi kejadian.
Setakat berita ini ditulis, masih belum ada kenyataan lanjut yang dikeluarkan oleh pihak bomba.