GUA MUSANG: Tiga lelaki Orang Asli maut selepas lori simen yang mereka naiki terjatuh ke gaung di Kilometer (KM) 80 Jalan Gua Musang-Lojing, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 10.40 pagi, ketiga-tiga mangsa yang berusia 40-an maut di tempat kejadian.
Mangsa maut ialah H. David, 42 tahun pemandu serta dua penumpang, O. Zaki, 23 tahun dan R. Fauzi, 28 tahun.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Nor Azizi Che Noh, berkata pihaknya menerima maklumat kejadian jam 10.40 pagi.
“Jentera sampai ke lokasi jam 12 tengah hari dan memulakan operasi mencari dan menyelamat di kawasan gaung yang dianggarkan sedalam 150 meter.
“Anggota bomba menggunakan tali untuk turun dan membawa naik ketiga-tiga mangsa dan operasi tamat jam 2.22 petang,” katanya dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian pada jam 2.20 petang.
“Mayat ketiga-tiga mangsa diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.