Tumpuan :
Nasional

Lori roro rempuh plaza tol berpunca brek rosak

Lori jenis roro melanggar tembok konkrit dan bahagian belakang sebuah treler di Plaza Tol Sungai Balak, Kajang, hari ini. – FOTO: NSTP

KAJANG: Kegagalan brek berfungsi mengakibatkan sebuah lori jenis roro melanggar tembok konkrit dan sebuah treler di Plaza Tol Sungai Balak, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu 11.30 pagi semalam.

“Siasatan dilakukan mendapati kejadian itu berlaku ketika pemandu lori jenis roro terbabit dalam perjalanan dari Dengkil menghala ke Batu 18.

“Sebaik tiba di Plaza Tol Sungai Balak, pemandu lori terbabit mendapati brek kenderaan itu tidak berfungsi menyebabkannya mengelak ke kiri.

“Tindakan itu menyebabkan lori berkenaan melanggar tembok konkrit plaza tol berkenaan dan melanggar bahagian belakang sebuah treler yang sedang berhenti membuat bayaran,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Katanya, kedua-dua pemandu kenderaan itu dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kemalangan terbabit.

“Kes itu disiasat mengikut Peraturan 10 LN166/59 atas kesalahan tidak dapat mengawal kenderaan ketika memandu,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini