Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah
KEMAMAN: Sebuah lori yang membawa muatan 78,000 biji telur ayam terbalik di Kilometer 293.8 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) selepas susur keluar Plaza Tol Chukai, di sini, pagi tadi.
Lori tersebut terbalik selepas dirempuh sebuah lori lain sebelum terbabas di tepi jalan.
Dalam kejadian jam 5.30 pagi itu pemandu lori dan kelindannya yang berusia 40 dan 25 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kelindan lori, Mohd Izzat Izzudin, 25 tahun berkata, lori yang dinaiki bersama rakannya terbabas ke kiri jalan dan terbalik selepas dirempuh sebuah lori barangan sejuk beku dari arah belakang ketika dalam perjalanan untuk menghantar bekalan telur dari Raub, Pahang ke Kuala Terengganu.
Pemilik lori berkenaan bagaimanapun bertindak memberi kebenaran kepada orang ramai terutama penduduk yang tinggal berhampir mengutip telur yang masih dalam keadaan baik untuk dibawa pulang secara percuma bagi mengelak dari pembaziran.
Bagaimanapun, pemilik tidak membenarkan telur-telur yang diambil itu dijual.
Kejadian itu turut tular di laman sosial dan pengguna lebuh raya yang melalui lokasi kejadian sempat singgah mengutip telur untuk dibawa pulang.
Menurut Fatin Mohd Ali, dia turut berhenti di tepi lebuh raya untuk mengutip telur.
“Ini rezeki, saya pagi tadi dari Kerteh ke Kuantan, ni bila balik singgah dan ada rezeki lagi selepas tengok dalam Facebook,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Mohammad Shahrul Shafik, telur yang dikutip itu akan dikongsi juga dengan jiram.
“Rezeki yang tak disangka, telur-telur ni bolehlah disimpan untuk persiapan awal ramadan dan boleh kongsi rezeki dengan jiran sekali,” ujarnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.