Tumpuan :
Nasional

Lori kurier bertembung treler


KUALA KRAI: Sebuah lori penghantar bertembung dengan treler di Kilometer 89, Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat Manek Urai dekat sini, awal pagi semalam.

Kemalangan menyebabkan bungkusan barangan milik pelanggan bertaburan di atas jalan.

Pada masa sama, kayu getah yang berada di atas treler berkenaan turut terjatuh, menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas dan satu lorong dibuka susulan kerja pembersihan.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohamad, berkata dalam kejadian jam 4.15 pagi itu, pemandu treler yang membawa muatan kayu getah mengalami kecederaan akibat tersepit.

Katanya, mangsa yang berusia 37 tahun cedera mata dan tangan kanan serta dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk rawatan lanjut.

“Siasatan awal mendapati, treler yang membawa muatan kayu getah dalam perjalanan dari arah Kuala Krai.

“Setibanya di lokasi kejadian, lori syarikat kurier dipandu lelaki berusia 36 tahun yang datang dari Gua Musang terbabas lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan treler berkenaan,” katanya.

Suzaimi berkata, pemandu treler cuba mengelak ke kiri jalan, namun jarak dekat menyebabkan kedua-duanya bertembung manakala pakej bungkusan pelanggan bertaburan di jalan apabila lori kurier itu terbalik.

“Akibat pertembungan itu, pemandu treler mengalami kecederaan di bahagian mata serta tangan kanan, manakala pemandu lori syarikat kurier tidak mengalami kecederaan.

“Ujian saringan air kencing ke atas pemandu lori syarikat kurier mendapati positif Methampetamine dan tangkapan sudah dibuat,” katanya.

Suzaimi berkata, kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu syarikat kurier yang gagal mengawal kenderaannya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Terdahulu, tular di media sosial berdurasi 26 saat menunjukkan penduduk kampung mengutip bungkusan barangan milik pelanggan yang terjatuh dari lori kurier berkenaan.

Loading...
Terkini