KUANTAN: Sebuah lori kontena milik syarikat kurier dan logistik terbabas dan terbalik di Kilometer 74, Jalan Kuantan-Kuala Lumpur, berhadapan sebuah sekolah di Maran, pada kira-kira 6.45 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Maran Superintendan Wong Kim Wai berkata, laluan tersebut masih terhalang akibat kemalangan berkenaan dan menasihatkan pengguna jalan raya untuk menggunakan laluan alternatif buat sementara waktu.
“Kemalangan ini hanya melibatkan kerosakan tanpa sebarang kecederaan. Jalan dari arah Maran menuju ke Kuantan terpaksa ditutup sementara waktu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, proses pengalihan lori kontena yang terbalik sedang giat dijalankan.
Sehubungan itu, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya berhati-hati, dan laluan tersebut akan dibuka semula sebaik sahaja kerja-kerja pengalihan selesai.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.