Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Lori diselubungi api marak disyaki berpunca daripada enjin panas


PUTRAJAYA: Sebuah lori yang bergerak sendiri dalam keadaan diselubungi api yang sedang marak, mencetuskan gempar kepada orang ramai di Kilometer 38 Lebuhraya Putrajaya-Cyberjaya semalam, disyaki mengalami kejadian panas melampau pada enjin hingga mencetuskan kebakaran.

Ketua Polis Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 6.30 petang ketika seorang pemandu lelaki dalam perjalanan dari Dengkil ke Puchong dengan memandu lori jenis Inokom.

Beliau berkata, apabila tiba di lokasi KM 38, pemandunya mengesan asap keluar dari bahagian enjin sebelum cuba memberhentikan kenderaan di tepi jalan, namun tidak sempat kerana api semakin marak.

“Berikutan kejadian itu, pemandu terbabit bertindak terjun keluar dan lori berkenaan terus bergerak sendiri di atas jalan raya.

“Pengadu hanya mengalami luka-luka ringan selepas terjun manakala lori yang dipandu hangus terbakar,” katanya ketika dihubungi BH.

Keadaan lori yang bergerak sendiri dalam keadaan diselubungi api yang marak sejurus pemandunya terjun menyelamatkan diri di Lebuhraya Putrajaya-Cyberjaya semalam. Foto tular

Norhizam berkata, pemandu terbabit memaklumkan kejadian berkenaan kepada pemilik lori, sebelum diarahkan membuat laporan polis.

Katanya, pemilik lori tidak mahu membuat tuntutan insuran kerana nilai tuntutan tidak tinggi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini