SEREMBAN: Lori membawa muatan serbuk kayu yang terbabas di bahu jalan mengakibatkan tiga lorong terhalang berikutan bahan berkenaan jatuh di Kilometer (KM) 260.2 (U) Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), dekat sini, petang tadi.
Kejadian kira-kira jam 5 petang itu menyebabkan kesesakan sehingga 30 kilometer sehingga ke susur keluar Pedas/ Linggi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, siasatan awal mendapati lori jenis Hino yang dipandu seorang lelaki berumur 42 tahun dari Seremban menghala ke Klang, Selangor.
“Lori dengan muatan serbuk kayu dikatakan hilang kawalan dan menyebabkan muatan serbuk kayu jatuh di lorong kecemasan, lorong kiri dan tengah.
“Akibat kemalangan, pemandu lori tidak mengalami kecederaan. Lorong kecemasan, lorong kiri dan lorong tengah ditutup dan hanya laluan kanan sahaja boleh digunakan untuk laluan,” katanya, hari ini.
Beliau berkata, kemalangan itu turut menyebabkan kenderaan bergerak perlahan di lebuhraya berhampiran tempat kemalangan.
Pihak polis bertugas berada di lokasi bagi membantu meleraikan kesesakan. Kes disiasat di bawah Rule 19 LN166/59 dan siasatan lanjut masih diteruskan.
Sementara itu, pihak Konsesi PLUS memaklumkan sehingga jam 8.15 malam tadi lorong kiri masih ditutup dengan kesesakan sejauh 30 kilometer dan orang ramai diminta menggunakan laluan alternatif.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.