comscore
Tumpuan :
Nasional

Lompat parti macam monyet – Bung Moktar

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin. – Foto YouTube Parlimen

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat tindakan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO di Sabah yang melompat parti.

Ketika sesi perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan rakyat hari ini, Bung Mokhtar berkata beliau tidak mahu adanya unsur pembelian ADUN daripada parti menggunakan wang ringgit demi mempertahankan kuasa, sekali gus mendorong mereka melompat parti.

Malah Bung Moktar yang pernah dikaitkan dengan ‘Langkah Kinabalu’, Januari lalu, turut menyamakan tindakan lima ADUN itu seolah-olah seperti monyet yang tabiatnya suka melompat.

“Ini yang saya sentuh, mereka melompat macam monyet, jatuh sana jatuh sini, asal melompat dapat jawatan, dapat duit….bila nak berhenti Sabah ini…malu saya.

“Majoriti ADUN Sabah yang bertanding, niat mereka melompat untuk dapat jawatan…kalau tidak mengkhianati parti susah dapat jawatan…mereka ini ada yang jadi pengerusi eksekutif, pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) besar.

“Saya minta penguatkuasa SPRM, polis siasat mereka yang melompat ini sebab memalukan di Sabah terkenal dengan wakil rakyat yang suka melompat parti…ini harus dihentikan.

“Mereka memasang hasrat bertanding dan menang sahaja, akan cari peluang untuk melompat supaya dapat jadi menteri atau pembantu menteri, dapat RM1 juta, RM2 juta dan RM5 juta…ini kerja ADUN Sabah yang terkenal di Sabah suka melompat,” katanya, di sini.

Hari ini, lima ADUN UMNO Sabah, mengumumkan keluar parti itu berkuat kuasa serta merta iaitu Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin); Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit); Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk); Datuk Hamid Awang (Balung) dan Datuk James Ratib (Sugut).

Serentak tindakan itu, lima ADUN berkenaan turut mengumumkan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang dipimpin Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Pada masa sama, Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah berkata, pihaknya yakin sepandai-pandai tindakan ADUN yang suka melompat parti ini akhirnya akan jatuh ke tanah juga kerana rakyat sedang memerhatikan mereka.

Pihaknya turut mempertikaikan tindakan kerajaan negeri yang sibuk mempertahankan kuasa dengan menggunakan wang ringgit daripada memikirkan hala tuju rakyat.

“Akta anti lompat parti tidak diterjemahkan di Sabah sebab itu pada hari ini masih ada pembelian ADUN daripada parti lain…ini perbuatan orang yang tidak rasional.

“Dulu sayapun tertanya-tanya bila kerajaan negeri hendak melaksanakan akta anti lompat parti, rupa-rupanya ada udang disebalik mee,” katanya.

Loading...
Terkini