comscore
Tumpuan :
Nasional

Lokasi tumpuan banjir sekitar Kota Tinggi mula dinaiki air

Antara laluan ‘hotspot’ banjir yang dipantau Jabatan Kerja Raya (JKR) Kota Tinggi sejak pagi tadi. FOTO: JKR Kota Tinggi

KOTA TINGGI: Beberapa laluan tumpuan banjir sekitar daerah ini mula dinaiki air berikutan hujan berterusan sejak malam tadi.

Bagaimanapun, sehingga pagi tadi, semua laluan ‘hotspot’ banjir yang dipantau Jabatan Kerja Raya (JKR) Kota Tinggi masih pada status waspada.

JKR Kota Tinggi menerusi kenyataan di Facebook, memaklumkan beberapa laluan yang dinaiki air setinggi 0.1 meter masih boleh dilalui semua kenderaan.

“Pada jam 7.30 pagi, jalan di Sungai Ara sudah mula dinaiki air setinggi 0.1 meter membabitkan jalan sepanjang 30 meter. Bagaimanapun, laluan itu masih boleh dilalui semua kenderaan, cuma perlu berwaspada.

“Punca laluan dinaiki air apabila hujan berpanjangan menyebabkan limpahan air sungai. Pemasangan papan tanda sudah dibuat,” katanya.

Selain jalan Sungai Ara, jalan di LGM (Lembaga Getah Malaysia) di sini, juga dinaiki air sedalam 0.1 meter membabitkan laluan sepanjang 30 meter.

“Laluan kiri terhalang, namun boleh dilalui semua kenderaan dalam keadaan berwaspada. Sehingga jam 8.55 pagi tadi, pemasangan papan tanda sudah dibuat.

“Punca jalan dinaiki air juga akibat hujan lebat berpanjangan menyebabkan limpahan air dari longkang,” jelasnya.

Beberapa laluan ‘hotspot’ banjir lain yang dipantau JKR Kota Tinggi masih boleh dilalui semua kenderaan kecuali di kawasan Batu 25 yang ditutup bagi kenderaan ringan.

“Pada jam 7.20 pagi, Jalan Lokheng – Mawai – Sungai Mas berhampiran Semalok masih boleh dilalui semua kenderaan. Pada jam 7.30 pagi, Jalan Kota Tinggi – Kluang di kawasan Kampung Batu 25 hanya satu lorong sahaja yang boleh dilalui semua kenderaan.

“Pemantauan turut dibuat di kawasan ‘hotspot’ banjir di Laluan Persekutuan Daerah Kota Tinggi. Di kawasan Batu 25, jalan ditutup untuk kenderaan ringan dan hanya satu lorong dibuka bagi kenderaan berat,” katanya.

Berdasarkan indikator JKR, laluan masih dibuka bagi semua kenderaan walaupun air sudah naik pada paras bawah 0.35 meter.

Manakala, katanya, laluan akan ditutup bagi kegunaan kenderaan ringan danya hanya boleh dilalui kenderaan berat, sekiranya air naik pada paras antara 0.35 meter hingga 0.75 meter.

“Sebaliknya, jalan akan ditutup sepenuhnya bagi laluan semua kenderaan jika air naik melebihi paras 0.75 meter,” jelasnya

JKR Kota Tinggi memberi peringatan kepada pemandu kenderaan supaya berhati-hati dalam pemanduan dan sentiasa berwaspada ketika memandu terutamanya ketika musim monsun serta ketika melalui kawasan yang dinaiki air atau banjir.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini