KUALA LUMPUR: Lokasi keberadaan individu pemilik dokumen MyKad dan lesen memandu yang ditemui di Ukraine seperti tular di laman sosial, baru-baru ini, belum dapat dipastikan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya masih menunggu maklum balas Kedutaan Russia termasuk dakwaan lelaki itu adalah tentera upahan dalam konflik Ukraine dan Russia.
“Kita sedang menunggu pengesahan dakwaan tersebut memandangkan ia ditularkan di negara berkenaan. Isu itu ditularkan di media sosial di negara terbabit sebelum tular di sini.
“Kita sedang menunggu daripada kerajaan Russia mengenai status lelaki tersebut termasuk kemungkinan dokumen peribadinya di salah guna atau sebagainya,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Media semalam melaporkan, keluarga individu pemilik MyKad dan lesen memandu yang didakwa ditemui di medan perang Ukraine, memaklumkan lelaki terbabit sedang melanjutkan pengajian di negara itu.
Perkembangan itu dimaklumkan Razarudin selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung dengan keluarga lelaki berkenaan.
Baru-baru ini, tular penemuan dua keping gambar menunjukkan MyKad dan lesen memandu rakyat Malaysia yang didakwa ditemui di medan perang di Livadny, Zaporizhia, Ukraine.
Ada dakwaan di media sosial, ia milik seorang rakyat Malaysia yang tidak dapat dipastikan statusnya, sama ada terbunuh atau ditahan tentera Rusia.
Dikatakan, kedua-dua dokumen itu ditemui selepas tentera Rusia menawan kubu tentera Ukraine di Livadny.
Lelaki berkenaan kononnya dikatakan terbabit sebagai tentera upahan dalam ’16th Rifle Batallion Ukraine’ yang berdepan dengan tentera Rusia di Ukraine.
Lesen memandu itu milik seorang individu itu dilihat beralamat di Padang Besar, Perlis dan masih sah sehingga Februari 2025.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.