Tumpuan :
Nasional

Loji Rawatan Kumbahan Serantau dijangka siap sepenuhnya tahun ini – Fadillah

Oleh: Kumaran Rajamoney

IPOH: Projek Loji Rawatan Kumbahan Serantau dan Rangkaian Paip Pembetungan di Papan, Daerah Kinta dijangka dapat disiapkan sepenuhnya menjelang hujung tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menjangkakan berkata, projek ini dijangka dapat disiapkan sepenuhnya dalam tahun ini setelah semua cabaran teknikal diatasi.

Projek itu melibatkan tiga pakej pembangunan, dengan dua daripadanya sudah disiapkan pemaju.

“Pakej pertama dan kedua projek ini telah siap sepenuhnya, manakala pakej ketiga kini mencapai tahap siap 88 peratus. Namun, beberapa cabaran termasuk isu tanah yang mempunyai rongga (cavity) perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum projek ini dapat disiapkan sepenuhnya.”

“Selain meningkatkan kecekapan rawatan kumbahan, projek ini juga membuka peluang pembangunan di kawasan tapak loji lama yang telah ditutup,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menambah, sistem pembetungan moden ini juga akan membantu mengurangkan pencemaran sungai serta memastikan kualiti air yang lebih bersih, sejajar dengan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Beliau menambah, projek ini merangkumi pembinaan rangkaian paip pembetungan moden sepanjang 88 kilometer, sembilan stesen pam baharu serta penutupan 149 loji rawatan kumbahan lama yang tidak lagi efisien.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Lawatan Kerja oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke projek itu di Taman Cempaka, di sini hari ini.

Untuk rekod, projek bernilai RM2.02 bilion ini dibiayai di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dan merupakan inisiatif kerajaan dalam memperkasakan sistem pembetungan di negeri Perak

Projek ini akan memberi manfaat kepada lebih 250,000 penduduk di Ipoh dan kawasan sekitarnya, dengan kapasiti untuk menampung sehingga 500,000 penduduk menjelang tahun 2045.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini