Tumpuan :
Nasional

Logo khas Malaysia Madani dilancar, guna pada setiap program kementerian, jabatan, agensi

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil ketika majlis pengumuman Logo Khusus Malaysia Madani selepas sidang media Mesyuarat Kabinet di Putrajaya. FOTO: NSTP

PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil hari ini melancarkan logo khusus Malaysia MADANI berteraskan enam nilai teras iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Keyakinan, Hormat dan Ihsan untuk digunakan dalam setiap aktiviti serta program anjuran kementerian, jabatan serta agensi kerajaan.

Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, pengumuman logo khusus itu susulan Mesyuarat Khas Akademi Kenegaraan pada 27 Februari lalu yang memutuskan supaya penggunaan logo Malaysia MADANI berfungsi sebagai lambang atau representasi kepada gagasan Malaysia MADANI yang perlu diperluaskan penggunaannya.

“Setiap penganjuran program kementerian, jabatan dan agensi kerajaan seharusnya dipadankan dengan nilai teras Malaysia MADANI yang berkaitan dan perlu diperlihatkan melalui logo khusus.

“Setiap logo khusus ini perlu digunakan bersesuaian dengan maksud enam teras Malaysia MADANI,” katanya pada majlis pelancaran logo itu selepas sidang media mingguan Kementerian Komunikasi di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.

Beliau berkata, kerajaan juga amat mengalu-alukan pembudayaan logo khusus Malaysia MADANI itu dilakukan secara bersama-sama merentasi sektor awam, swasta serta badan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan pelaksanaan program dan aktiviti berkaitan kenegaraan serta kemasyarakatan dapat diterapkan dengan aspirasi Malaysia MADANI.

“Usaha ini diharapkan dapat menyemarakkan lagi penghayatan Malaysia MADANI dalam kalangan pemimpin dan rakyat demi meningkatkan kesejahteraan dan kemakmuran tanah air tercinta ini,” katanya.– BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini