comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Logo kasut mirip kalimah Allah: Ambil tindakan jika wujud elemen disengajakan – JAKIM


Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mahu tindakan sewajarnya diambil berlandaskan undang-undang di negara ini sekiranya wujud elemen disengajakan dalam isu logo kasut keluaran syarikat Vern’s Holding Sdn Bhd.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, pihaknya menyokong penuh tindakan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengadakan siasatan lanjut berhubung isu terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid (kiri) mengetuai pemantauan terhadap premis yang didakwa menjual kasut menggunakan logo mirip kalimah Allah di pusat membeli belah di Johor, semalam. – Foto FB Mohd Fared Mohd Khalid

“JAKIM juga tidak mahu kes sebegini berulang lagi di masa akan datang sama ada oleh pihak Vern’s Holding Sdn Bhd dan juga semua pihak yang menghasilkan apa sahaja produk jualan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, JAKIM telah mengadakan pertemuan dengan Pengasas dan Pengarah Urusan Vern’s Holding Sdn Bhd, Datuk Seri Ng Chuan Hoo hari ini seperti diarah Menteri di Jabatan Perdana (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Pertemuan berkenaan bagi tujuan siasatan dan meminta penjelasan mengenai isu berkenaan dan langkah-langkah pihak syarikat untuk mengelakkan isu seumpama itu berulang.

“Pihak Vern’s Holding Sdn Bhd telah menjelaskan kedudukan sebenar isu tersebut serta memohon maaf. Pihak syarikat telah mengambil tindakan drastik dengan menarik balik serta merta produk tersebut dari lebih 70 cawangan Vern’s di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Terdahulu, Ng atau lebih dikenali sebagai Ah Foo hadir ke Kompleks Islam Putrajaya di sini pada jam 10.50 pagi tadi bagi memberi penerangan berhubung logo kasut tersebut.

Semalam, tular di media sosial berkenaan dakwaan terdapat rekaan yang dikatakan mirip kalimah Allah pada tapak kasut wanita jenama tempatan.

Mengulas lanjut, menurut Hakimah, JAKIM memandang serius isu logo terbabit kerana jelas melibatkan sensitiviti umat Islam dan boleh menggugat perpaduan masyarakat berbilang kaum serta agama di negara ini.

Justeru, JAKIM memberi peringatan tegas kepada pihak Vern’s Holding Sdn Bhd termasuk semua pengusaha, pengilang, pembekal dan pengimport untuk sentiasa cakna serta memberi perhatian serius terhadap isu sensitif melibatkan agama dan kaum.

Ia bagi mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat keseluruhan di negara ini.

“Dalam masa yang sama semua pihak dinasihatkan untuk tidak membangkitkan isu-isu yang menyentuh aspek 3R (agama, raja dan kaum) yang boleh menimbulkan ketegangan dan menjejaskan keharmonian serta menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan memandangkan kes ini telah pun dibuka kertas siasatan oleh pihak PDRM,” katanya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilapor berkata, setakat semalam, 8 laporan polis diterima di empat negeri berhubung dakwaan tersebut.

Sehingga jam 7 malam tadi, polis merampas sebanyak 1,145 pasang kasut yang mempunyai lambang mirip kalimah Allah membabitkan beberapa negeri di utara dan selatan Semenanjung.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini