comscore
Tumpuan :
Nasional

Logo halal palsu, rumah sembelihan ayam diarah tutup 

FOTO: Ihsan ADUN Bayan Lepas

 

BAYAN LEPAS: Sebuah rumah penyembelihan ayam di Kampung Matahari Naik, dekat Teluk Kumbar di sini, diarah tutup 14 hari setelah dikesan menggunakan logo halal meragukan.

Pemilik rumah penyembelihan berkenaan juga adalah bukan Islam dan  menggajikan pekerja bukan warganegara bagi menjalankan kerja penyembelihan ayam.

Semua itu terbongkar selepas premis terbabit diserbu dalam operasi bersepadu  pelbagai agensi jam 9.20 malam tadi, susulan aduan orang ramai.

Antara agensi terbabit adalah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Kementerian Kesihatan (KKM), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lain-lain.

Hasil sembelihan di premis ini dihantar ke Pasar Awam Tanjung Bungah dengan menggunakan logo halal. – FOTO: Ihsan ADUN Bayan Lepas

ADUN Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz, ketika mengulas kegiatan itu berkata siasatan dilakukan pihak berkuasa mendapati hasil sembelihan di premis itu dihantar ke Pasar Awam Tanjung Bungah dengan menggunakan logo halal.

“Perbuatan pemilik premis itu jelas mengelirukan masyarakat khususnya pembeli beragama Islam dan beberapa agensi berkaitan sudah mengadakan siasatan susulan pagi tadi.

“Menerusi siasatan, didapati papan iklan di premis berkenaan jelas memaparkan logo halal dan diiklankan halal,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pemilik premis berkenaan menerima notis penutupan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 selama 14 hari sehingga 15 Mei ini yang dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah Barat Daya.

Azrul berharap tindakan tegas dapat dikenakan  supaya isu halal dan haram tidak dipermainkan sebegitu rupa demi keuntungan perniagaan mereka.

Loading...
Terkini