comscore
Tumpuan :
Nasional

LMM B penuh: Pemohon perlu selesai saman tertunggak, tidak disenarai hitam 

Foto: NSTP

KAJANG: Orang ramai yang mahu menyertai Program Khas Peralihan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2/B1 Kepada LMM Kelas B Penuh, dinasihat menyelesaikan semua saman tertunggak dan memastikan nama tidak disenarai hitam.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, saman tertunggak yang perlu dijelaskan merangkumi saman JPJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, walaupun syarat untuk mendapatkan lesen B penuh sudah diberi beberapa kelonggaran, pemohon masih perlu memenuhi beberapa syarat ditetapkan, antaranya tiada saman tertunggak.

“Orang awam perlu menyemak kelayakan itu menerusi aplikasi MyJPJ, kaunter JPJ atau portal JPJ. Jika status tidak layak walaupun syarat lesen B1 atau B2 dipenuhi, pemohon perlu semak semula saman tertunggak, JPJ atau PDRM.

“Semua saman tertunggak perlu diselesaikan dahulu, barulah sistem itu automatik kesan dan tukar status kepada layak,” katanya pada sidang media Operasi Khas Kenderaan Perdagangan di Batu 5, Jalan Bangi Lama, di sini hari ini.

Katanya, selaras pengumuman Menteri Pengangkutan, Anthony Loke supaya kelonggaran syarat dapat diberikan, JPJ melaksanakan tindakan pembaharuan, iaitu tiada lagi syarat minimum 10 tahun berterusan yang ditetapkan sebelum ini.

“Syarat itu sudah dimansuhkan serta-merta. Pemegang lesen B1 dan B2 selama 10 tahun dan ke atas, tiada saman tertunggak layak mohon peralihan kepada lesen B penuh,” katanya.

Sehingga kini, katanya, 3.32 juta pemegang lesen B1 dan B2 daripada jumlah keseluruhan semasa seramai 9.31 juta orang, layak menyertai program khas itu yang menetapkan tiga syarat utama.

Syarat itu adalah warganegara Malaysia, miliki lesen memandu kompetan (CDL) Kelas B2/B1 sah dan berkuat kuasa berterusan serta bebas senarai hitam, tunggakan saman, sekatan urus niaga, disabitkan kesalahan berat atau sebarang perkara belum selesai di bawah Akta 333.

Dalam perkembangan lain, Aedy Fadly memaklumkan, sebanyak 32,178 kenderaan perdagangan diperiksa bermula Isnin lalu sehingga semalam dalam Operasi Khas Kenderaan Perdagangan di seluruh negara.

Daripada jumlah itu katanya, 4,233 kes telah diambil tindakan,16 disita dan 8,701 dikenakan notis, manakala tujuh pemandu ditahan kerana positif dadah hasil ujian saringan urin ke atas 38 individu oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK)

Beliau berkata, ujian air kencing dalam kes pemandu positif dadah akan dibuat kali kedua di makmal dan jika keputusannya sama, mereka akan dikenakan tindakan undang-undang, termasuk digantung lesen.

“Kenderaan dipandu individu positif dadah turut disita untuk tindakan lanjut,” katanya menambah JPJ mengambil serius susulan beberapa siri kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya melibatkan kenderaan perdagangan.

Operasi bermula 1 hingga 31 Oktober bagi memastikan tahap pematuhan terhadap peraturan keselamatan jalan raya yang lebih tinggi. Ia turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan AADK.

Katanya, fokus utama operasi bertujuan mengesan pemandu atau pemilik kenderaan perdagangan yang gagal mematuhi Akta Pengangkutan Jalan 1987, Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

“Pemandu kenderaan perdagangan perlu sentiasa patuh peraturan jalan raya bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan, meminimumkan kes kemalangan, kecederaan parah, kematian dan mengurangkan kesesakan lalu lintas,” katanya.

Loading...
Terkini