Tumpuan :
Nasional

LLM rangka pelan atasi kesesakan trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak 

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) merangka pelan jangka pendek dan panjang untuk mengurangkan kesesakan trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) yang memuncak setiap kali cuti, terutama musim perayaan.

Dengan kerjasama ANIH Berhad, syarikat pemegang konsesi Lebuhraya KLK dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), strategi jangka pendek yang dirangka membabitkan pelan pengurusan trafik (TMP) di beberapa lokasi cantuman trafik dari susur masuk ke laluan utama, selain meningkatkan kapasiti di plaza tol.

Menurut LLM, empat langkah dalam pelan jangka pendek itu seperti pengkhususan arah trafik di Plaza Tol Gombak arah barat, menyediakan kakitangan tambahan di plaza tol, menambah lorong manual dan menjadikan laluan SmartTAG sebagai laluan hibrid.

“Pengkhususan arah trafik di Plaza Tol Gombak arah barat adalah untuk mengelak kesesakan disebabkan kenderaan dari arah timur menukar laluan selepas keluar plaza tol arah Ampang dan Batu Caves.

Jadi, pengguna dinasihatkan pilih lorong sebelum memasuki Plaza Tol Gombak lagi.

“Untuk trafik dari Pantai Timur ke KL, tetapkan awal kedudukan lorong mengikut mod pembayaran tol masing-masing dengan mengambil kira arah, sama ada mahu ke arah Ampang atau Batu Caves,” menurut LLM, agensi di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR).

Menjelaskan demikian kepada BH, agensi itu memaklumkan, inisiatif lain dalam pelan jangka pendek mengatasi kesesakan lalu lintas di Lebuhraya KLK adalah menyediakan kembalik (tow truck) secara tunggu sedia, selain kekerapan hebahan trafik di semua platform media.

LLM yang bertanggungjawab mengawal selia pembangunan dan pengurusan lebuh raya bertol di Malaysia, menjelaskan pelan mitigasi jangka panjang pula dirangka berdasarkan pelaksanaan Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) dan cadangan projek pelebaran Lebuhraya KLK.

“LLM berpandangan pelaksanaan MLFF yang sedang diteliti dan juga cadangan projek pelebaran Lebuhraya KLK yang akan dilaksanakan kelak adalah langkah lebih praktikal, mengambil kira implikasi kepada pihak kerajaan dari aspek perjanjian konsesi (CA),” menurut agensi berkenaan.

CA di antara kerajaan dan ANIH Berhad membabitkan Lebuhraya KLK dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), yang akan tamat pada 2069.

Penstrukturan semula CA dilaksanakan dengan ambil kira pelaksanaan cadangan projek pelebaran Lebuhraya KLK dan cadangan projek tebatan banjir di beberapa lokasi di sepanjang LPT1.

“Langkah itu bagi memastikan jaringan lebuh raya ke arah Pantai Timur tidak terputus kesan Monsun Timur Laut tanpa melibatkan sebarang kos kepada pihak kerajaan dan pengguna,” menurut LLM.

Mengulas gesaan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada Khamis lalu agar kerajaan memansuhkan sekurang-kurangnya dua tol, iaitu di Gombak dan Karak dalam usaha mengurangkan kesesakan lalu lintas bagi pengguna LPT, LLM berpandangan, langkah itu tidak akan memberi kesan signifikan.

“Faktor utama kesesakan di Lebuhraya KLK disebabkan penambahan atau peningkatan trafik ketika cuti musim perayaan dan juga cuti hujung minggu. Selain itu, keadaan topografi muka bumi Lebuhraya KLK yang mendaki dan berliku dengan kekangan kapasiti, turut menyumbang kepada pergerakan trafik yang perlahan.

“Keadaan itu seterusnya menyebabkan limpahan trafik ke belakang dan menjadi lebih buruk apabila jumlah kenderaan berat yang banyak turut menggunakan laluan terbabit pada waktu perayaan dan hujung minggu,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini