comscore
Tumpuan :
Nasional

LLM kenal pasti lokasi ‘Smartlane’ surai trafik sempena Aidiladha

FOTO: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

KAJANG: Beberapa lokasi di lebuh raya kendalian Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dikenal pasti untuk pembukaan sementara lorong kecemasan atau ‘Smartlane’ dan laluan kontra bagi melancarkan aliran trafik sempena sambutan Hari Raya Aidiladha Khamis ini.

Pengerusi LLM, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, langkah berkenaan dapat membantu menyuraikan bilangan kenderaan yang dijangka meningkat menjelang perayaan tersebut.

“Kawasan dan lokaliti (Smartlane) yang kita kenal pasti adalah yang tidak mendatangkan masalah trafik lain. Seperti contoh, kalau kita buka Smartlane gunakan laluan kecemasan, tetapi dia akan ’bottleneck’ (penyempitan lorong jalan) di depan dan lokasi lain, kita tak buat.

“Ada beberapa laluan, contohnya, selepas tol Gombak, ada laluan yang panjang. Mungkin kita akan buka laluan kecemasan bagi tempoh tertentu ketika waktu puncak untuk kegunaan kenderaan bagi cepat surai trafik. Konsep yang sama kita akan gunakan apabila waktu mereka kembali semula ke ibu kota dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah LLM dan melakukan lawatan sulung ke Pusat Pengurusan Trafik (TMC), LLM, di sini hari ini.

Jalaluddin berkata, pihaknya akan memantau pelaksanaan inisiatif tersebut bersama polis, bomba dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memastikan laluan tersebut tidak disalah guna oleh pengguna jalan raya.

Selain itu, beliau akan melakukan sesi libat urus dengan agensi terbabit bagi memastikan tiada pelanggaran Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh mengakibatkan kesesakan atau kemalangan jalan raya.

“Kita kenal pasti (kesalahan) memandu melebihi had laju yang dibenarkan, penggunaan telefon di dalam kenderaan ketika memandu, ubah suai kenderaan dan beberapa perkara lain menjadi penyumbang besar kemalangan serta kesesakan.

“Kita juga mahu kemudahan di semua hentian Rehat dan Rawat (R&R) dinaik taraf dalam soal keselamatan, kebersihan dan terutama kamera litar tertutup (CCTV) serta pencahayaan bagi keselamatan pengguna.

“Ini penting berasaskan apa yang digariskan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dalam Malaysia MADANI yang perlu dilaksanakan secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah LLM, Ir Sazali Harun berkata, pihaknya akan melaksanakan ‘Smartlane’ dan laluan kontra mengikut keadaan tertentu.

“Sebenarnya bila kita menghadapi masalah kapasiti (lorong jalan), yang mana kenderaan terlampau banyak, antara cara untuk mendapat kapasiti tambahan adalah menggunakan lorong kecemasan secara terkawal.

“Ia (inisiatif) telah dibuat dalam beberapa siri hari perayaan sebelum ini dan kita melihat ada yang positif. Cumanya ia perlu diperhalusi di tempat yang mungkin akan bertemu balik, itu kita melihat bagaimana kita nak uruskan ‘bottleneck’.

“Kita dah kenal pasti laluan kontra dan di kawasan mana, tetapi pelaksanaan kena lihat keadaan sebab kita khuatir trafik di lorong bertentangan pun tinggi, jadi kita tak boleh buat (buka laluan kontra),” katanya.

Loading...
Terkini