![](https://media.buletintv3.my/2025/02/BULETIN-TV3-N-2025-02-10T230228.836.jpg)
KOTA KINABALU: Lembaga Koko Malaysia (LKM) digesa untuk memberi tumpuan terhadap usaha mengukuhkan bekalan koko domestik bagi memastikan kelestarian industri koko negara ini.
Menteri Peladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata perkara itu penting diberi perhatian dalam menghadapi cabaran global seperti kekurangan bekalan biji koko.
“Saya difahamkan bahawa mulai tahun ini, LKM telah mula melaksanakan Program Galakan Tanaman Koko. Program selama lima tahun ini akan dilaksanakan pada tahun 2025 hingga 2029.
“Dengan peruntukan RM4 juta bagi tahun ini, LKM akan memberi insentif anak pokok koko kepada kawasan ladang terpilih seluas 350 hektar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Apresiasi Kecemerlangan Lembaga Koko Malaysia 2025 di Hotel The Pacific Sutera, di sini, malam ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Peladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin; Pengerusi LKM, Datuk Matbali Musah dan Ketua Pengarah LKM, Datuk Ramle Kasin.
Johari berkata industri koko negara mencatatkan perkembangan positif tahun lalu dimana industri berkenaan merekodkan peningkatan 70 peratus pengeluaran domestik biji koko kering dari 269 tan pada 2023 kepada 456 tan tahun lalu.
Katanya, antara faktor peningkatan pengeluaran adalah pelaksanaan Program Pemulihan Kebun Koko sejak awal 2024.
“Dengan peruntukan RM9.5 juta bagi tempoh 2024-2026, LKM telah memberi insentif input pertanian seperti baja, racun, ubat kawalan penyakit, peralatan pertanian dan sebagainya kepada 3,296 orang pekebun kecil koko dengan sasaran pemulihan seluas 2,126 hektar ladang koko,” katanya.
Johari berkata petani juga lebih mempergiatkan pengutipan biji koko disebabkan oleh harga biji koko kering yang meningkat sehingga 141 peratus iaitu RM24,274 setan pada 2024 berbanding RM10,073 pada 2023.
“Nilai eksport produk koko dan coklat juga telah meningkat sebanyak 64 peratus. Hasil daripada sokongan dan program promosi LKM, Malaysia telah memperluaskan pasaran produk koko ke 205 destinasi pasaran antarabangsa,” katanya.
Johari berkata Malaysia juga dapat mengekalkan kedudukan sebagai negara pengisar koko keempat terbesar di dunia dengan pengeluaran sebanyak 383,000 tan pada tahun 2024, selepas Ivory Coast (680,000 tan), Belanda (590,000 tan) dan Jerman (460,000 tan).
Beliau juga menegaskan kepentingan penglibatan dan jalinan kerjasama antara pemain industri dengan pekebun kecil dalam sektor koko negara ini.
Katanya, ia penting berikutan trend permintaan antarabangsa pada masa kini yang mengutamakan aspek sosial dan kemampanan sepanjang rantaian bekalan.
“Operasi pertanian yang mampan harus menitikberatkan amalan pertanian yang baik serta amalan buruh yang bertanggungjawab.
“Perkara ini sudah pasti akan meningkatkan kos pengeluaran yang kini pada RM8,492 per hektar bagi setiap tahun.
“Oleh itu, kerjasama dengan pihak industri adalah penting untuk memastikan skala tanaman yang lebih bersifat komersial dan berdaya saing.
“Ini seperti kolaborasi antara LKM dan Nestle yang telah meningkatkan pendapatan petani dan pengeluaran koko secara mampan yang memanfaatkan semua pihak,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.