comscore
Tumpuan :
Nasional

LKM catat nilai sasaran RM8 billion eksport koko negara tahun ini

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof melakukan lawatan pameran mini di Majlis Apresiasi Lembaga Koko Malaysia 2023.

Oleh Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Lembaga Koko Malaysia (LKM) menyasarkan eksport koko negara mencatatkan nilai RM8 bilion tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata bagi tujuan itu pelbagai program seperti promosi antarabangsa dan domestik dilaksanakan sebaik mungkin untuk memastikan sasaran itu dapat dicapai.

Datuk Seri Fadillah Yusof menyaksikan MoU di antara LKM-ANGKASA, hari ini.

“Industri koko pada 2022 telah menyumbang sebanyak RM7.82 bilion melalui perolehan eksport, iaitu meningkat daripada RM6.87 bilion pada 2021,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi LKM di sini, hari ini.

Datuk Seri Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi itu berkata sektor huluan koko yang melibatkan pengeluaran biji koko masih tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan negara.

Justeru program seperti Hab Perdagangan Koko telah dilancarkan pada 2022 bagi memudahkan proses pengimportan biji koko kering.

Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berucap pada Majlis Apresiasi Lembaga Koko Malaysia 2023

“Selain itu, LKM juga menggalakkan pengeluaran biji koko ‘premium’ dan ‘single origin’ yang dijual dengan harga yang lebih tinggi berbanding biji koko ‘bulk beans’ dan ini mampu meningkatkan pendapatan pekebun,” katanya.

‘Single origin’ ialah kategori koko yang memberi penekanan kepada satu daerah atau kawasan berbeza di wilayah penanaman koko dan ia boleh dijejaki mengikut setiap ladang, pekebun, pengeluar, tanaman atau wilayah dalam satu negara.

‘Bulks beans’ pula campuran pelbagai varieti dan gred biji koko yang dijual secara pukal.

Beliau berkata Program Pembangunan Usahawan Coklat juga perlu dilaksanakan untuk meningkatkan bilangan usahawan, kapasiti pengeluaran dan peluasan pasaran produk usahawan.

Fadillah berkata, LKM dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA) juga bekerjasama untuk membantu meningkatkan pendapatan pekebun koko dengan pihak Angkasa akan menyediakan keperluan berkaitan seperti mengenal pasti koperasi dan mengerakkan model latihan bagi menyokong aktiviti koperasi kluster koko.

Beliau berkata pada masa ini pekebun lebih memilih kelapa sawit, kerana antara lain proses kerja dan pengurusan lebih mudah berbanding koko, namun pihaknya sedang berusaha menarik lebih ramai pekebun menanam koko menerusi langkah antaranya pemberian bantuan serta kerjasama dengan syarikat besar serta koperasi.

Ketika ini negara mengimport kira-kira RM6 bilion biji koko setahun dan mengeksport produk koko sebanyak RM7.82 bilion untuk tahun kepas, justeru pelbagai usaha sedang dilakukan untuk mengurangkan kebergantungan kepada biji koko diimport.

Loading...
Terkini