comscore
Tumpuan :
Nasional

LKAN: KSU PETRA ketuai pasukan, teliti teguran babitkan isu pengurusan air

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

SERDANG: Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Mad Zaidi Mohd Karli akan mengetuai pasukan dalaman untuk meneliti setiap teguran Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 terhadap kementerian itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia bagi memastikan teguran Ketua Audit Negara diambil tindakan termasuk membabitkan isu pengurusan air negara.

“Audit berhubung kait dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), kita memang dah ada pasukan melihat segala laporan (LKAN) dan akan ambil tindakan atas segala teguran,” katanya yang ditemui menyempurnakan Majlis Peluncuran Banci Pertanian 2024, di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air turut berharap isu yang dibangkitkan di dalam LKAN tidak berulang pada masa akan datang.

Dalam LKAN 2/2024 yang diterbitkan hari ini antara lain mendedahkan sebanyak 145 daripada 712 projek pembangunan infrastruktur air lewat jadual asal antara 86 hingga 1,076 hari melibatkan kos berjumlah RM6.150 bilion.

Selain itu, sasaran 13.5 peratus rizab margin air terawat kebangsaan tidak dapat dicapai oleh empat negeri sampel yang dilawati pada tahun 2022 iaitu Kedah, Kelantan, Perlis dan Sabah dengan rizab sangat rendah iaitu 3.9 peratus bagi Kelantan serta tiada rizab bagi Kedah.

Turut didedahkan, kadar air tidak berhasil (NRW) bagi negeri sampel tidak mencapai sasaran kebangsaan iaitu 51.5 peratus hingga 61.5 peratus pada tahun 2022.

Justeru, Ketua Audit Negara mengesyorkan kepada PETRA serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam supaya meningkatkan pemantauan terhadap penyiapan projek dan program pembangunan serta naik taraf bagi sumber air, bekalan air terawat dan kualiti air dalam tempoh ditetapkan.

Di samping itu, kedua-dua kementerian diminta supaya memantapkan tadbir urus kolaboratif dan penglibatan bersama Kerajaan Persekutuan dan Negeri sebagai penyelarasan bidang kuasa serta penglibatan pihak berkuasa negeri bagi penyelesaian isu air secara bersepadu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini