KUALA LUMPUR: HRD Corp menjelaskan faktor pandemik COVID sebagai antara alasan agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) itu menurunkan sasaran 20 daripada 30 petunjuk prestasi utama (KPI), selain punca kemerosotan prestasi penyaluran levi pada 2020.
Melalui penjelasan ke atas Laporan Ketua Audit Negara (LKAN), HRD Corp berkata, pandemik menyebabkan aktiviti utama syarikat memungut dan mendapatkan levi daripada majikan tidak mencapai sasaran serta mempengaruhi jumlah penyertaan pekerja dalam program latihan.
“Sasaran KPI itu dipinda dan tidak mendapat kelulusan Lembaga Pengarah. Sasaran 17 daripada 20 indikator KPI itu diturunkan berbanding sasaran awalnya tercapai dan dijadikan asas pemberian bonus pada 2021 dan 2022 kepada pegawai HRD Corp dengan purata satu hingga enam bulan.
“Selain itu, pandemik COVID-19 menyebabkan penurunan sasaran KPI hingga jumlah penyertaan pekerja berkurang… ia membuatkan majikan dan penyedia latihan tidak dilengkapi keupayaan beralih kepada latihan secara maya dan mengakibatkan program latihan dibatal atau ditangguhkan,” katanya.
Melalui Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 yang diumumkan hari ini, Jabatan Ketua Audit Negara mengesyorkan KESUMA merujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan berkaitan, selepas syarikat kerajaan itu gagal dalam audit.
LKAN juga menggesa HRD Corp mengkaji semula keperluan pindaan terhadap Perlembagaan Syarikat berkaitan pengurusan dan operasi syarikat agar selaras peruntukan di bawah Akta Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) 2001.
Dalam LKAN, indikator KPI yang sentiasa berubah dan berbeza perspektif setiap tahun menyukarkan penilaian dan penyeliaan prestasi syarikat untuk dibuat secara konsisten.
Malah, pindaan terhadap sasaran awal indikator KPI tanpa kelulusan Lembaga Pengarah adalah tidak selaras dengan Limits of Authority dan mengetepikan peranan Lembaga Pengarah dalam penentuan hala tuju HRD Corp.
Dalam pada itu, LKAN mendapati Mesyuarat Lembaga Pengarah tidak diadakan bagi tempoh Mei 2023 hingga Januari tahun ini kerana ketiadaan Pengerusi.
Selaras Subseksyen 10(1) Akta PSMB 2001 yang memperuntukkan kuasa kepada HRD Corp untuk mengawal selia perlembagaan sendiri, pasukan audit berpendapat syarikat kerajaan itu perlu meminda Perlembagaan dan Piagam Lembaga Pengarah HRD Corp selaras dengan Akta PSMB 2001.
Ia bagi memastikan Mesyuarat Lembaga Pengarah dapat diadakan bagi membincangkan isu berkaitan dapat diselesaikan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa