Tumpuan :
Nasional

LKAN 2021: Langgar kontrak biasiswa, UiTM potensi rugi puluhan juta ringgit

PETALING JAYA: Universiti Teknologi Mara (UiTM) menanggung kerugian berjumlah RM58.57 juta, selepas ramai penerima biasiswa yang menandatangani perjanjian ke peringkat Doktor Falsafah (Ph.D) dan Sarjana gagal mencapai objektif ditetapkan.

Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi, berkata audit pada 2021 mendapati, daripada jumlah itu, UiTM berpotensi kerugian berjumlah RM51.08 juta akibat kelewatan tindakan tuntutan ganti rugi.

“Audit berkaitan Tuntutan Ganti Rugi Penghutang Pecah Kontrak (pemegang biasiswa mungkir perjanjian) UiTM, turut menemui hapus kira terhadap penghutang pecah kontrak berjumlah RM6.23 juta; dan ganti rugi berjumlah RM1.26 juta tidak dapat dituntut,” katanya dalam Laporan Ketua Audit Negara 2021.

Wan Suraya berkata, pada 2021, seramai 1,496 pemegang biasiswa mungkir dengan nilai tuntutan ganti rugi keseluruhan berjumlah RM117.16 juta.

“Seramai 1,201 daripada 1,496 penghutang pecah kontrak diambil tindakan tuntutan ganti rugi dan dilaporkan dalam Penyata Kewangan UiTM pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 dengan nilai tuntutan ganti rugi keseluruhan berjumlah RM64.82 juta.

“Baki seramai 259 daripada 1,496 penghutang pecah kontrak masih belum diambil tindakan tuntutan ganti rugi dengan nilai tuntutan ganti rugi keseluruhan berjumlah RM52.34 juta,” katanya.

Wan Suraya berkata, bagi memastikan tindakan pematuhan kepada peraturan kewangan dipatuhi sepenuhnya, UiTM disyor menambahbaik iaitu memastikan pekeliling, prosedur kerja dan kontrak yang berkuat kuasa dipatuhi, dilaksanakan dan dipantau dengan cekap dan berkesan bagi tuntutan ganti rugi ke atas Pemegang Biasiswa yang pecah kontrak.

“Menambah baik koordinasi, komunikasi dan pemantauan kerja antara BKK UiTM, Unit Kewangan Zon 2, Pejabat Bendahari dan Pejabat i Pejabat Penasihat Undang-undang (PUU) UiTM sama ada di peringkat pelaksanaan atau pengurusan tertinggi berhubung tindakan perundangan dan kutipan semula Wang Awam.

“Serta memastikan pekeliling dan kontrak tuntutan ganti rugi ditambah baik antaranya menerangkan secara terperinci prosedur kerja bagi pemberhentian tindakan undang-undang terhadap penghutang pecah kontrak yang tamat pengajian di luar tempoh pengajian yang sepatutnya,” katanya.

Loading...
Terkini