comscore
Tumpuan :
Nasional

Little India meriah menjelang Deepavali

Oleh: Muhd Nadhir Azfar

KUALA LUMPUR: Menjelang perayaan Deepavali, pasar dan gerai di sekitar Kuala Lumpur lebih-lebih lagi di sekitar Brickfields ataupun Little India meriah seperti tahun-tahun sebelum ini.

Kawasan tersebut tidak putus-putus dikunjungi oleh orang ramai yang mencari barang keperluan untuk meraikan Pesta Cahaya pada 31 Oktober nanti.

Berdasarkan tinjauan kru TV3, pengunjung lebih gemar membeli belah di sekitar kawasan Little India dan Masjid India kerana harga yang berpatutan.

Menurut pengunjung Deepak Sahota, dia lebih gemar ke kawasan ini untuk membeli-belah kerana barangan yang dijual di sini adalah lebih murah dan lebih senang untuk mendapatkan barangan tradisional.

“Kami sudah mula membeli-belah sejak dua tiga hari yang lalu. Kami juga mudah mendapatkan barang-barang keperluan seperti baju tradisional juga yang lebih banyak pilihan,” kata Deepak.

Manakala peniaga kuih tradisional dan manisan, Maniam Suppiah berkata dia sudah mula berniaga sempena Deepavali sejak 5 Oktober lalu dan kedainya akan beroperasi sehingga malam sebelum perayaan itu nanti.

“Kami meniaga di sini pun sudah 30 tahun dan pelanggan pun ramai juga. Kalau harga pun kami akan bagi lebih murah bila semakin dekat dengan perayaan,” kata Maniam.

Bagi peniaga aksesori hiasan Darshini Devi pula, dia sudah meniaga sejak awal bulan ini dan hanya akan menutup kedai pada malam esok.

“Bagi minggu ini kedai kami agak sibuk, esok pun dah hari terakhir sebelum sambutan dan tahun ini pun ramai pelanggan yang singgah ke kedai kami,” kata Darshini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

 

Loading...
Terkini