Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Satu kejadian kebakaran dilaporkan berlaku di bilik bicara Mahkamah Persekutuan di Istana Kehakiman, di sini tengah hari tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Putrajaya, Abdul Manaf Che Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.45 tengah hari.
Menurutnya, seramai 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Presint 7 membabitkan lima jentera digerakkan ke lokasi.
“Pusat Gerakan Operasi (PGO) terima panggilan melalui MERS999 melaporkan pemanggil memaklumkan Bilik Bicara berbau asap kebakaran di Mahkamah Persekutuan, Presint 3.
“Jentera sampai pada jam 12.50 tengah hari dengan jarak lokasi kejadian dari balai adalah sekitar 3.5 kilometer.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati litar pintas di Bilik Bicara dan berbau asap,” katanya dalam kenyataan.
Susulan itu, komander operasi mengarahkan anggota membuat pemeriksaan dan pemantauan lokasi kejadian bagi memastikan keadaan selamat.
Tiada mangsa terlibat dalam kejadian itu.
Mengulas lanjut, Abdul Manaf berkata, kes diserahkan kepada pihak penyelenggaraan bangunan untuk tindakan lanjut.
Operasi tamat pada jam 1.09 tengah hari.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.