comscore
Tumpuan :
Dewan Rakyat

Liputan internet lemah, promosi sukan permotoran tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Isu sambungan internet di beberapa lokasi dan rancangan Kementerian Komunikasi untuk memperbaiki sambungan internet menjadi antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman sesawang Parlimen, perkara itu dibangkitkan Ahli Parlimen Julai, Datuk Larry Soon ketika sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan.

Pada sesi sama, Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi bertanyakam kepada Menteri Belia dan Sukan berkenaan inisiatif yang telah diambil oleh kementerian untuk mempromosikan sukan permotoran terutama dalam kalangan anak muda.

Beliau juga memohon kementerian menyatakan jumlah peruntukan dana untuk pembinaan litar permotoran di lokasi yang dikenal pasti.

Sementara itu, turut menjadi tumpuan isu kesesakan trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak (KLK) yang akan dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor.

Beliau meminta Menteri Kerja Raya untuk menyatakan rancangan mengatasi kesesakan di lebuhraya berkenaan termasuk potensi pembinaan laluan alternatif bagi jaringan menghala ke Pantai Timur dari Kuala Lumpur.

Selain itu, Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli meminta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan tindakan kementerian untuk menambah baik pengurusan landskap di setiap kawasan perbandaran bagi mengurangkan kemalangan berkaitan pokok tumbang yang sering berlaku.

Usai sesi soal jawab, persidangan akan diteruskan dengan perbahasan peringkat dasar Rang Undang-undang Perbekalan 2025 yang memasuki hari ketujuh hari ini.

Minggu ini merupakan minggu terakhir bagi sesi perbahasan peringkat dasar, yang akan diikuti oleh sesi penggulungan oleh menteri dari setiap kementerian selama empat hari bermula 6 November.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 35 hari, bermula 14 Oktober hingga 12 Disember depan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini