comscore
Tumpuan :
Nasional

Lindung pemberi maklumat asas strategi pencegahan rasuah efektif – TI-Malaysia

Melindungi pemberi maklumat adalah asas kepada strategi pencegahan rasuah yang efektif.-Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Transparency International Malaysia (TI-Malaysia) menggesa pihak berkuasa memastikan perlindungan penuh kepada pemberi maklumat, yang mana ia menjadi asas kepada strategi pencegahan rasuah yang efektif.

Presidennya, Dr Muhammad Mohan berkata, tanpa perlindungan yang mencukupi, individu mungkin dihalang daripada mengemukakan maklumat.

“Kerajaan mesti menunjukkan komitmen yang teguh untuk melindungi pemberi maklumat sekiranya mereka nekad dalam memerangi rasuah.

“Kami menggesa agensi penguatkuasaan undang-undang untuk bekerjasama menegakkan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan keadilan dengan menyokong dan melindungi pemberi maklumat yang bertindak demi kepentingan awam,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, TI-Malaysia memuji pendedahan sebuah portal berita baru-baru ini mengenai nama tiga individu berprofil tinggi yang terbabit dalam pengaturan visa perubatan dan sindiket penetapan kaunter.

“TI-Malaysia sentiasa menekankan keperluan rakyat Malaysia untuk memberanikan diri untuk memainkan peranan sebagai pemberi maklumat dan mendedahkan sebarang maklumat yang berkaitan dengan aktiviti rasuah.

“Bagaimanapun kami ingin mengulangi betapa pentingnya keselamatan untuk pemberi maklumat di Malaysia. Justeru, TI-Malaysia ingin menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bertindak dengan pantas dan tegas dalam memastikan perlindungan penuh diberikan kepada pemberi maklumat,” katanya.

Tambah beliau lagi, perlindungan polis yang meluas perlu diberikan kepada pemberi maklumat kerana keselamatan dan kesejahteraan mereka mempunyai potensi untuk diancam.

“Kami menyatakan keperluan untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil peranan untuk memberi perlindungan kepada mereka yang terlibat dan menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai perlindungan yang mencukupi untuk pemberi maklumat,” katanya.

Muhammad turut mengingatkan bahawa Pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 untuk melindungi pemberi maklumat adalah satu sub strategi di bawah Strategi 4: Penguatkuasaan Strategi Anti Rasuah Kebangsaan (NACS).

Justeru, katanya, Kerajaan MADANI hendaklah bekerja keras untuk memerangi rasuah untuk mencapai sasaran NACS dan matlamat untuk meningkatkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) kepada 25 teratas dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini