MUAR: Abdullah Amir Ruddin, 15 tahun, remaja yang mengalami cedera parah akibat kemalangan tragis di Segamat-Kuantan, 1 September lalu sebak apabila meratapi gambar jenazah ibu bapanya yang meninggal dunia.
Saat pilu berkenaan dikongsikan ibu saudaranya, Nor Hila Noor Muhammad, 38, menerusi video yang dimuat naik di laman sosial Tik Tok, petang semalam.
“Terlerai sudah segala rahsia yang kami simpan selama ini selepas dia (Abdullah) tahu ibu, abi dan adik beradik lain sudah tiada,” demikian menurut bapa saudaranya Mohd Hairul Noor Muhammad, 54, selepas anak saudaranya itu dimaklumkan mengenai pemergian keluarganya dalam kemalangan 1 September lalu.
Mohd Hairul sebelum ini pernah memberi kiasan kepada Abdullah termasuk menyebut nama arwah datuknya, Noor Muhammad Kassim namun remaja itu seolah-olah tidak mengerti apa yang cuba disampaikannya.
“Selama ini, saya terfikir-fikir apa yang perlu lakukan untuk memberitahu perkara sebenar.
“Setiap malam sebelum tidur, saya cuba bagaimana nak cerita perkara sebenar. Tiba-tiba malam kelmarin, dia buka mulut mengatakan ibu dan abi sudah tiada. Dia berbual dengan emak saya (Norliah Md Noh) dan emak menitis air mata bila diberitahu mengenai perkara itu.
“Sekarang hati saya sudah lapang, apa yang cuba saya beritahu akhirnya dia tahu sendiri.Walaupun dalam keadaan semakin pulih, namun dia seolah-olah belum mengerti apa sebenarnya berlaku,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Parit Lapis, Parit Jawa.
Malam tadi, keluarga Mohd Hairul menunjukkan gambar arwah ibu, abi dan adik beradik lain kepada Abdullah ketika mereka sedang makan.
Mereka sepakat menunjukkan gambar dalam simpanan telefon bimbit ibu saudaranya, Nora Hila, 40, itu kepadanya.
Namun, keadaan bertukar pilu apabila Abdullah yang pada mulanya ketawa tiba-tiba tersentak apabila abangnya, Abdur Rahman, 19, menunjukkan gambar jenazah mereka.
Suasana di rumah mereka pada malam itu hiba apabila masing-masing menitiskan air mata sementara Abdur Rahman dilihat cuba membantu mengesat air mata adiknya.
“Malam tadi, kami sepakat untuk menunjukkan gambar, dia pun berkata ‘itu jenazah ibu, ibu sudah tiada’. Patutlah lama dia tak datang jumpa Abdullah. Kami satu rumah menangis bila dia sebut ‘jenazah ibu’.
“Walaupun dia ketawa tetapi air mata mengalir. Sebenarnya dari awal kami sengaja tidak mahu menceritakan perkara sebenarnya kerana kelak dia akan faham serta mengetahui perkara sebenar.”
“Setiap kali pergi ziarah kubur keluarga Allahyarham, saya meluahkan apa yang perlu saya lakukan supaya Abdullah tahu yang ahli keluarganya sudah tiada,” katanya.
Tragedi memilukan telah meragut nyawa pasangan suami isteri Amir Ruddin Ismail, 46, dan Noorahimah Noor Muhamad, 43.
Nahas turut mengorbankan empat lagi anak pasangan itu, Fatimatulzahrah, 17, Seri Khadijah Aqilah, 13, Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5.
Mereka sekeluarga dilaporkan dalam perjalanan dari Kluang ke Segamat untuk menghantar Noorahimah yang bertugas sebagai guru Sekolah Agama Kemedak.
Tujuh beranak itu menaiki Perodua Alza dan pada hari kejadian, hanya Abdur Rahman tidak ikut bersama kerana ada urusan lain.
| ARTIKEL BERKAITAN
- [VIDEO] Lori terbabas punca nahas maut 6 sekeluarga
- Nahas Segamat, Abdullah kini stabil
- [VIDEO] 6 termasuk 5 sekeluarga maut dalam nahas 3 kenderaan
- [VIDEO] “Tapi, yang pulang adalah jenazah Abi, ibu dan adik”.- Anak mangsa
- [VIDEO] Jenazah 6 beranak dikebumi dalam satu liang lahad
- Remaja mangsa ketujuh nahas di Segamat ditidurkan selepas jalani pembedahan
- Al-Quran arwah adik terselit pesan ibu jadi pengubat rindu
- “Alhamdulillah, adik dah sedar, wayar di tubuhnya sudah dicabut”