Tumpuan :
Nasional

Lina Samuel, pesakit kanser yang dirampas MyKad meninggal dunia

Mendiang Lina Samuel. – FOTO: Kam Agong Lawas Sarawak/Facebook

KUALA LUMPUR: Lina Samuel yang mendapat perhatian banyak pihak selepas mendakwa MyKad miliknya dirampas secara salah oleh pihak berkuasa kerana mempertikaikan kerakyatannya, meninggal dunia pagi tadi akibat kanser kolon tahap empat.

Mendiang, 65, sebelum ini dilaporkan tidak mempunyai MyKad untuk mendapatkan rawatan di sebuah hospital.

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam satu kenyataan menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang.

JPN  berkata, pihaknya sebelum ini bertemu dengan mendiang dan membuka semula kertas siasatan bagi kes beliau.

“Namun atas dasar keprihatinan dan kebajikan mendiang, JPN telah mengeluarkan Dokumen Pengenalan Sementara (KPPK11) pada 13 April lalu,” kata kenyataan itu.

Menurut JPN, kenyataan rasmi Pengarah Kesihatan Sarawak, Dr Ooi Choo Huck 12 April lalu juga memaklumkan mendiang tetap diberikan rawatan di Hospital Miri secara berterusan tanpa sebarang prejudis walaupun semasa tempoh ketiadaan dokumen pengenalan diri.

Justeru, JPN menyeru orang ramai yang mempunyai persoalan atau masalah berkaitan hal-hal pendaftaran sama ada urusan kelahiran, kad pengenalan, kematian, perkahwinan dan kewarganegaraan untuk segera hadir ke mana-mana 212 pejabat JPN di seluruh negara untuk mendapatkan khidmat nasihat.

Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat berkaitan perkhidmatan JPN di portal dan pelbagai platform media sosial rasmi jabatan itu.

Loading...
Terkini