comscore
Tumpuan :
Nasional

Limpahan tangki air: Lima lif Komtar beroperasi semula, 7 lagi jalani ujian keselamatan

Oleh: Selwam Arjunan

GEORGE TOWN: Lima daripada 12 lif di bangunan Komtar, di sini, telah disambung operasi selepas terpaksa ditutup akibat limpahan tangki air, siang tadi.

Selepas kerja-kerja pembersihan selesai, pemeriksaan dan ujian keselamatan sedang dilakukan untuk menyambung semula operasi semua lif terjejas.

Pengendali bangunan, PDC Setia Urus (PDCSU) Sendirian Berhad berkata limpahan air dikesan dari bilik tangki di tingkat 27 pada jam 3.15 pagi.

“Siasatan awal mendapati terdapat limpahan dari tangki air tersebut dan Juruteknik PDCSU telah berjaya menghentikan aliran air keluar. Siasatan lanjut akan dijalankan untuk mengesan punca utama kejadian.

“Berikutan insiden ini, mendapati limpahan air telah memasuki lif di kawasan tersebut. Atas faktor keselamatan, pihak pengurusan terpaksa menghentikan operasi lif yang terjejas buat sementara waktu.

“4 buah lif Zon Rendah yang tidak terjejas boleh beroperasi seperti biasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Komtar setinggi 68 tingkat menempatkan pejabat pentadbiran kerajaan negeri termasuk Pejabat Ketua Menteri, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan kaunter perkhidmatan agensi kerajaan negeri.

Selain itu, ia turut menempatkan pejabat agensi kerajaan pusat termasuk Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Pengangkutan Jalanraya.

Tinjauan mendapati penjawat awam dan orang awam yang tiba awal terpaksa melalui tingkat bawah yang digenangi air ke laluan tangga.

Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Rosli Isa berkata, Pejabat SUK termasuk jabatan dan agensi negeri di bangunan Komtar termasuk urusan di kaunter beroperasi seperti biasa.

Walau bagaimanapun, kelonggaran bekerja dari rumah diberikan kepada pegawai dan staf yang mengandung dan mempunyai masalah kesihatan.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah Timur Laut telah menasihatkan orang awam yang mempunyai urusan di kaunter pejabat kerajaan menjadualkan semula temujanji ke hari lain.

Selepas kerja-kerja pembersihan, PDCSU berkata usaha untuk memulihkan semula kesemua lif terjejas sedang giat dilakukan.

“Pada jam 9.30 pagi, sebuah lif Zon Tengah telah disahkan selamat digunakan orang ramai.

“Pasukan Teknikal PDCSU dan kontraktor lif terus menjalankan pemeriksaan dan ujian keselamatan supaya kesemua lif dapat beroperasi semula secepat mungkin,” katanya lagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini