comscore
Tumpuan :
Nasional

LIMA‘23 : UPSI jalin kerjasama industri teknologi penerbangan

Mohamed Khaled (tengah) menyaksikan sesi serahan dokumen MoA antara empat organisasi iaitu UPSI, UniKL, GTA dan AK Corp semasa pameran LIMA ‘23 di Langkawi hari ini. -FOTO: Ihsan UPSI

LANGKAWI: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini menandatangani perjanjian persetujuan (MoA) dengan Malaysia Institute Of Aviation Technology (UniKL MIAT), Global Turbine Asia (GTA) dan Augmented Knowledge Corporation, Korea Selatan (AK Corp) membangunkan penyelidikan pendidikan dalam bidang teknologi penerbangan.

Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, persetujuan kerjasama industri-akademik ini bermatlamat membangunkan Metaverse Centre for Aviation/Aerospace (MC4A) di UniKL Malaysian Institute of Aviation Technology (MIAT) yang akan digunakan sebagai pusat penerbangan atau aeroangkasa.

“Perkongsian kepakaran, bimbingan serta pembangunan latihan hasil daripada kerjasama empat pihak ini membolehkan pelajar meneroka serta mempelajari penerbangan cara baharu dan menyesuaikan diri dengan teknologi maju dalam industri ini,” jelasnya pada majlis pertukaran dokumen MoA di Pameran LIMA ‘23, hari ini.

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata sebagai universiti peneraju pendidikan negara, UPSI sentiasa proaktif membangunkan inovasi selaras dengan perkembangan teknologi dan pendigitalan pendidikan negara.

“Menerusi kerjasama ini, UPSI optimis membuka ruang usahasama dalam pembangunan pendidikan dengan penyertaan pihak organisasi tempatan mahupun luar negara selaras hasrat KPT mengantarabangsa pendidikan peringkat global,” jelasnya.

Jelasnya UPSI akan berperanan sebagai pakar pembangunan modul instruksional pendidikan dan latihan digital dalam memperkenalkan bahan bantu mengajar digital berdasar teknologi metaverse (AR-VR- MR-XR) bagi bidang teknologi penerbangan (aviation) dan ilmu enjin pesawat (aeronautik) selaras dengan hasrat KPT dalam menjayakan inisiatif pendidikan digital di Malaysia.

Majlis pertukaran dokumen MoA turut disaksikan Ketua Setiausaha Usaha KPT, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar dan turut dihadiri Presiden UniKL Datuk Dr. Roziah Omar serta Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti UPSI, Puan Seri Rohani Parkash Abdullah.

Loading...
Terkini