Oleh Kumaran Rajamoney
LANGKAWI: Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA’23) dilihat sebagai platform terbaik dalam meneroka pasaran kerja bagi pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendekatan itu penting dalam memastikan pendidikan TVET yang dijalankan menepati keperluan industri dalam dan luar negara.
“Kita mempunyai lebih 200,000 pelajar yang menuntut dalam bidang TVET. Sekiranya mereka menuntut dalam bidang penerbangan atau maritim, maka penting untuk memastikan insitusi pendidikan kita mempunyai keupayaan menghasilkan tenaga kerja yang bersesuaian.”
“Pendekatan ini memberikan impak positif kerana banyak insitusi TVET berjaya membentuk peluang pekerjaan kepada lepasannya. lebih 94 peratus lepasan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) misalnya berjaya memasuki pasaran kerja termasuk dalam bidang Penyelenggaraan, pembaikan dan kendalian/operasi penerbangan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis tandatangan surat minat di antara Aerostar Tech dan Institut Teknologi Penerbangan (UniKL MIAT).
Turut ditandatangani surat minat di antara UNIKL MIAT dan BATS Aviation.
Majlis berkenaan berlangsung sempena LIMA’23 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini, hari ini.