comscore
Tumpuan :
Nasional

Lima universiti teknikal tawar lulusan SKM lanjut pengajian peringkat ijazah

Oleh: Kadir Edison

LUNDU: Lima Intitusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) akan menawarkan lulusan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap satu dan dua melanjutkan pelajaran mereka di peringkat Ijazah.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu susulan daripada pemintaan tenaga kerja mahir yang meningkat kerana kewujudan bidang kerjaya baharu yang dipacu TVET.

“Ini adalah satu pendekatan yang baru akan kita lakukan untuk memperkasakan pendidikan TVET ini.

“Malah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) juga telah menyarankan agar ada tahap 6,7 dan 8 dan ini akan dilakukan oleh KESUMA dengan Kerjasama dengan kementerian pendidikan dan juga Kementerian Pengajian Tinggi untuk menyamakannya dengan ijazah pertama, ini akan kita perincikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perlancaran Inisiatif TVET HRD CORP-Centex Commercial di Lundu.

Lima intitusi terbabit termasuk Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Zahid yang juga pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata lulusan SKM tahap satu hingga tiga yang diiktiraf oleh Agensi Pengiktirafan Kebangsaan (MQA) dan Majlis TVET kebangsaan akan memiliki taraf setanding Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Manakala bagi lulusan SKM tahap empat dan lima akan memiliki taraf setanding dengan peringkat diploma.

Penyamaan taraf berkenaan katanya akan membolehkan lulusan-lulusan TVET yang memiliki sijil SKM boleh memasuki univesiti dalam jaringan MTUN walaupun tanpa Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini