KUALA LUMPUR: Lima stesen kendalian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Selangor dan Perak menunjukkan paras air melebihi tahap bahaya dan berkemungkinan berlaku banjir besar.
Berdasarkan data dikongsi JPS, setakat tengah hari tadi, empat stesen di Selangor menunjukkan trend paras air yang semakin naik di Sungai Semenyih (Pekan Bangi Lama), Sungai Langat (Bukit Changgang, Dengkil dan Jenderam Hilir).
Keadaan sama juga berlaku di stesen di Perak iaitu di Sungai Bidor, Changkat Jong di Hilir Perak.
Media sebelum ini, melaporkan, hampir 200 penduduk di Bangi dan Semenyih dipindahkan apabila rumah mereka dilanda banjir susulan hujan lebat, awal pagi tadi.
Dua kawasan terjejas setakat ini di Jalan Semenyih Indah 16, Taman Semenyih Indah, Semenyih dan Kampung Bangi Lama, Bangi.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi (METMalaysia) meramalkan ribut petir di beberapa negeri.
@buletintv3 Berdasarkan data dikongsi Jabatan Pengairan & Saliran (JPS), lima stesen di Selangor menunjukkan trend paras air meningkat membabitkan Sungai Semenyih dan Sungai Bidor. #BuletinTV3 #BeritaDiTiktok#banjir#jps
♬ Minimal for news / news suspense(1169746) – Hiraoka Kotaro
Pada sebelah petang, ribut petir dijangka berlaku di beberapa tempat membabitkan Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Johor.
Bagi kawasan pendalaman, ribut petir diramal di satu, dua tempat di Perak, Negeri Sembilan dan Melaka.
Di Sarawak, ribut petir dijangka melanda Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu Mukah, Kapit, Bintulu dan Limbang.
Manakala di Sabah pula dijangka membabitkan pedalaman, Pantai Barat, Tawau, Sandakan dan Kudat.
Pada sebelah malam, ribut petir dijangka berlaku di satu, dua tempat di Pahang, Perak, Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.
Manakala tiada hujan di kawasan Putrajaya dan Johor.