KLANG : Selepas enam bulan dieksploitasi menjadi buruh paksa, lima remaja warga asing berusia antara 14 hingga 17 tahun diselamatkan dalam serbuan ke atas sebuah kilang barang terpakai di Kampung Jawa, di sini, semalam.
Serbuan jam 4 petang itu dijalankan Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran D3 (Atipsom), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Pasukan Khas Majlis Anti Pemerdagangan Orang (MAPO) Kementerian Dalam Negeri dan Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan.
Ketua Penolong Pengarah D3 Atipsom, JSJ Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, kesemua mangsa yang diselamatkan adalah tiga remaja perempuan dan dua lelaki.
“Hasil siasatan awal, mereka bekerja di kilang berkenaan sejak enam bulan lalu dan dibayar sebanyak RM50 sehari.
“Selain itu 72 warga asing turut ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen seperti tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah serta menyalahgunakan pas permit kerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, warga asing lelaki yang ditahan membabitkan 28 lelaki Myanmar, Bangladesh (12), China (empat) dan India (seorang).
“Kita turut menahan dua wanita warga Myanmar dan seorang wanita warga China.
“Kita turut melakukan tangkapan terhadap tiga lelaki warga China berusia 36 hingga 37 tahun disyaki berperanan sebagai pengurus dan pembantu pengurus kilang,” katanya.
Fadil berkata, kilang tanpa lesen itu dipercayai sudah beroperasi sejak setahun yang lalu dengan menggajikan buruh warga asing.
Katanya, operasi itu dijalankan bagi mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang berpandukan kepada indikator National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) yang dibangunkan untuk membantu agensi penguat kuasa.
“Mangsa dan semua tangkapan warga asing itu adalah pekerja kilang itu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Atipsom 2007, Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya.