KUCHING: Lima peserta lumba perahu dikhuatiri lemas selepas perahu mereka karam ketika menjalani latihan di Sungai Sarawak, di sini, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, ketika kejadian seramai 15 peserta menaiki perahu panjang terbabit.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.20 petang.
“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya diarah ke lokasi.
“Setibanya di lokasi di Royal Bay Commercial Centre, Jalan Buruh,Bintawa, dimaklumkan seramai 10 peserta berjaya menyelamatkan diri manakala lima lagi masih hilang,” katanya.
Menurutnya, mereka sedang menjalani latihan sebagai persediaan untuk menyertai Regatta Sarawak yang dijadual akan berlangsung awal bulan depan.
“JBPM dan Pasukan Polis Marin masih berusaha mencari lima mangsa yang belum dijumpai.
“Unit PPDA juga sudah dimaklumkan berhubung kejadian itu dan mereka akan menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang sedang dijalankan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.