Tumpuan :
Nasional

Lima NGO bergabung lancar Kempen Bina Telaga Tiub di Kelantan

TUMPAT: Sebanyak lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersetuju bekerjasama melancarkan Kempen Membina Telaga Tiub Rakyat bagi membantu kampung dan pusat pengajian pondok di Kelantan yang memerlukan air bersih setelah terkesan dengan masalah kemarau akibat cuaca panas ketika ini.

Gabungan NGO itu membabitkan Pertubuhan Perpaduan Media Malaysia, Dewan Perniagaan Melayu Negeri Kelantan (DPMMK), Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK). Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Pertubuhan Memperkasa Ummah Malaysia berhasrat buat permulaan membina 10 telaga tiub bagi membekalkan air bersih bermula Julai depan.

Pengerusi Pertubuhan Perpaduan Media Malaysia, Khairuzzaman Mohammad berkata, meskipun Kerajaan Pusat telah mengumumkan peruntukan RM1 bilion bagi membekalkan air bersih di Kelantan, pembinaan 10 telaga tiub yang bakal diusahakan sebagai usaha tambahan permulaan bagi membantu penduduk yang memerlukan bekalan air bersih.

“Alhamdulillah Pertubuhan Perpaduan Media Malaysia, Majlis Tindakan Rakyat Kelantan dan juga DPMMK dan GPMS kami bersama berbincang dan berunding bagaimana membantu dan mengatasi sedikit sebanyak kemarau di Kelantan dan hasil muafakat bersama beberapa usahawan di Kelantan kami akan lancar Kempen Untuk Bina Telaga Tiub untuk membantu sekolah pondok dan kampung terjejas dan asnaf atau mereka yang merasakan terkesan dengan kemarau yang mencengkam rakyat Kelantan …kami gesa usahawan dan warga Kelantan di perantauan hadir sama menyumbang.”

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Sambutan Aidilfitri Kakitangan Media Prima dan Media Mulia di Tumpat, Kelantan yang dihadiri lebih 20 kakitangan dan keluarga.

Katanya selain mengumpul dana NGO berkenaan akan mengumpul maklumat lokasi kampung dan sekolah pondok di Kelantan yang bermasalah dan memerlukan telaga tiub.

Jelasnya pihaknya juga akan bekerjasama dengan ketua kampung, Pejabat Penggawa dan Pegawai Daerah di Kelantan bagi melancarkan perlaksanaan projek berkenaan.

Sementara itu Bendahari DPMM Kelantan, Dr Mohd Fazlan Ghazali berkata pihaknya menyokong penuh usaha membina telaga tiub berkenaan dengan kerjasama NGO lain dalam usaha meningkatkan mutu dan kualiti hidup rakyat negeri itu.

“Bagi DPMM Kelantan kami menyokong sebarang usaha kearah peningkatan kualiti hidup rakyat Kelantan golongan peniaga dan usahawan di Kelantan sentiasa menyokong apa juga usaha aktiviti peningkatan aktiviti menaikkan mutu hidup itu kita fokus sekarang ini isu semasa air panas tak nak politikkan sebab itu kita bersama Pertubuhan Perpaduan Media Malaysia dan juga MTRK dan GPMS kita bincang bersama dan bermuafakat mencari jalan serta dana kearah membina telaga tiub mungkin fokus 10 unit dikawasan yang betul betul ada masalah air,”.

Pandangan sama disuarakan Presiden MTRK, Aiman Yusri Mohd Yusof yang mahu inisiatif bersama itu menyelesaikan sedikit sebanyak masalah ketiadaan air bersih yang membelenggu sebahagian rakyat Kelantan kini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini mengumumkan peruntukan RM1 bilion bagi pembekalan air bersih di Kelantan bermula tahun ini.

Loading...
Terkini