Oleh: Nurul Amalina Zainudin
PETALING JAYA: Lima daripada sembilan pekerja warga Bangladesh yang terlibat dalam insiden runtuhan gudang dalam pembinaan di Batu Maung, Bayan Lepas, Pulau Pinang, malam Selasa lalu, tidak mempunyai rekod caruman dan pendaftaran dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Kenyataan PERKESO hari ini memaklumkan, hasil semakan rekod 2 pekerja asing yang maut dan 2 cedera parah mendapati, kesemua mangsa mempunyai rekod pendaftaran dengan PERKESO, tetapi tiada caruman dibuat sejak diambil bekerja antara 2020 hingga Julai lalu.
Bagaimanapun, seorang lagi pekerja asing yang maut tidak mempunyai rekod pendaftaran dan caruman dengan PERKESO.
”Kegagalan majikan mendaftar dan membayar caruman pekerja asing itu jelas melanggari Seksyen 6, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4),” kata kenyataan itu.
Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar, menegaskan pihaknya menerusi PERKESO akan mengambil tindakan perundangan terhadap majikan yang bertanggungjawab menggaji pekerja asing di tapak projek pembinaan gudang
logistik itu.
“Kegagalan mendaftarkan dan mencarum pekerja asing boleh didakwa mengikut Seksyen 94, Akta 4 yang membawa hukuman denda RM10,000 atau dua tahun penjara, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
“Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana majikan yang culas mendaftar dan membayar caruman pekerja asing, sekali gus menafikan hak perlindungan sosial mereka,” katanya.
Sehingga 31 Oktober lalu, Sivakumar berkata, lebih 1.88 juta pekerja asing dilindungi menerusi Skim Perlindungan Bencana Kerja mengikut Akta 4, dengan 4,566 insiden kemalangan membabitkan pekerja asing dilaporkan ke PERKESO.
“Bagaimanapun, jumlah liputan caruman bagi pekerja asing berbanding kemasukan tenaga buruh luar ke Malaysia menunjukkan masih ada segelintir majikan yang ingkar dalam mematuhi peruntukan Akta 4,” tambahnya.
Semua pekerja asing, termasuk yang berkhidmat sebagai buruh di sektor pembinaan diwajibkan untuk mendaftar dan mencarum dengan PERKESO, berkuat kuasa pada 1 Januari 2020.