comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Lima mangsa dikuatiri hilang di Gunung Tebu ditemui selamat

 

BESUT: Lima mangsa yang dikuatiri hilang selepas tersesat ketika aktiviti mendaki di kawasan hutan Gunung Tebu, Jabi ditemui selamat kira-kira jam 9.15 pagi ini.

Bapa kepada seorang daripada mangsa berkenaan, Mohamad Embong berkata, dua anaknya Mohd Huzaimi Mohamad, 38 serta Mohamad Huzaifah Mohamad, 33, bersama tiga lagi rakan mereka  terkandas di hutan berkenaan sejak Khamis lalu.

Katanya, mengikut rancangan asal, kumpulan pendaki itu tidak mahu bermalam di hutan kerana mahu terus turun dari gunung pada petang, 31 Ogos.

“Anak memaklumkan ketika mereka dalam perjalanan menuruni gunung ada pokok tumbang yang menghalang trek laluan asal untuk turun.

“Mereka cuba mencari jalan lain untuk turun tetapi tidak jumpa dan membuat keputusan tidak berpecah serta terus berada situ kerana salah seorang rakan tercedera terseliuh,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamad berkata, anak-anaknya memberanikan diri untuk menyertai aktiviti itu kerana salah seorang daripada kumpulan pendaki itu berpengalaman mendaki Gunung Tebu.

“Alhamdulillah pagi ini ketika sesi taklimat operasi mencari dan menyelamat anggota keselamatan sedang dilakukan, mereka perasan kumpulan pendaki ini berjalan keluar dari kawasan hutan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa dikuatiri hilang sebenarnya lima orang tetapi hanya tiga sahaja yang dilaporkan kepada polis.

“Saya serta salah seorang ibu mangsa sahaja yang buat laporan manakala dua mangsa lagi tiada laporan polis dibuat.

Sementara itu, Zaharah Omar, 56, ibu kepada seorang lagi mangsa Muhammad Azroy Mohd Aluwi, 23 berkata, pada awalnya anaknya memaklumkan mahu pergi ke Besut, pada pagi Khamis.

“Pada hari semalam dia hantar mesej memberitahu mereka sesat serta meminta untuk mendapatkan bantuan daripada anggota keselamatan.

“Syukur mereka semua dapat keluar dengan selamat tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Sesi taklimat operasi mencari dan menyelamat anggota keselamatan untuk mencari lima mangsa dikuatiri hilang di Gunung Tebu, Jabi, Besut sebelum kesemua mereka ditemui selamat kira-kira jam 9.15 pagi ini- Foto: Ihsan bomba

Sementara itu Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Azrol Anuar Nor berkata, operasi mencari dan menyelamat bermula  jam 8 pagi  disertai tiga pegawai dan 20 anggota polis, enam pegawai dan 13 anggota bomba, dua pegawai dan 11 anggota Angkatan Pertahanan Awam serta sembilan malim gunung.

“Kawasan Hutan Lata Belatan juga ditutup sementara pagi ini untuk melancarkan kerja-kerja operasi mencari dan menyelamat.

“Hasil siasatan mendapati mereka tersalah laluan semasa mendaki ke Gunung Tebu dan semua mangsa dihantar ke Hospital Besut untuk rawatan serta pemeriksaan lanjut,” katanya.

Loading...
Terkini