comscore
Tumpuan :
Nasional

Lima laporan polis diterima berhubung kenyataan Teresa Kok

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain. – FOTO: NSTP

Oleh: Ing Boon Seng

PETALING JAYA: Polis menerima lima laporan di seluruh negara berhubung kenyataan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang mendakwa kewajipan mendapatkan sijil halal membebankan peniaga dan memalukan negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata SOP siasatan dijalankan dibawah 3R kerana menyentuh isu raja, agama dan kaum.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 298 dan 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Walaupun kebebasan memberikan pendapat itu dibenarkan melalui Perlembagaan Persekutuan, namun terdapat hadnya. PDRM menasihatkan semua rakyat Malaysia agar tidak mengeluarkan kenyataan atau membalas kenyataan yang akhirnya boleh mencetuskan kegentaran awam dan mengapi-apikan antara kaum,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3 petang ini.

“Kenyataan yang bersifat sedemikian juga merupakan satu kesalahan yang termaktub di bawah Kanun Keseksaan iaitu kenyataan-kenyataan yang mendatangkan khianat awam,” katanya.

Sehubungan itu, PDRM menyeru semua masyarakat negara ini untuk menghayati prinsip Rukunegara.

Kelmarin, Teresa dipetik berkata, pelaksanaan pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran dan bukan secara paksa.

Dakwanya, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan dan beban kepada perniagaan kecil.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini