Tumpuan :
Nasional

Lima kediaman penduduk berisiko runtuh akibat hakisan tanah

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau meninjau kawasan tanah runtuh di Kampung Napitas berhampiran tebing Sungai Tamparuli. – FOTO: NSTP

TAMPARULI: Lima kediaman di sekitar daerah ini berdepan risiko runtuh akibat hakisan tanah yang semakin memburuk susulan hujan lebat berterusan.

Rumah-rumah yang terjejas terletak berhampiran tebing sungai di Kampung Kimondou, Kampung Rani, dan Kampung Napitas, berdekatan Sungai Tamparuli.

Tinjauan di lokasi mendapati hakisan semakin melebar, menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk, terutama jika hujan lebat berterusan tanpa sebarang tindakan pencegahan segera.

Seorang penduduk terjejas, Konsin Awah, 65, berkata kejadian itu berpunca daripada tanah yang semakin lembut akibat hujan lebat sejak kebelakangan ini, sekali gus mengancam keselamatan keluarganya di Kampung Kimondou.

“Keadaan bertambah parah sejak semalam, apabila tebing bukit lokasi rumah kami terhakis dan runtuh sehingga mengenai sebahagian dinding runtuh.

“Kejadian itu benar-benar menakutkan kami sekeluarga kerana bimbang rumah boleh roboh secara tiba-tiba jika keadaan cuaca berlanjutan buruk,” katanya.

FOTO: NSTP

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, berkata kelewatan tindakan bukan saja menyebabkan kerosakan infrastruktur lebih besar, malah mengundang bahaya dan kesan langsung kepada kehidupan penduduk terbabit.

“Cuaca tidak menentu dengan kerap hujan lebat sejak kebelakangan ini dikenalpasti punca lima kediaman penduduk di daerah ini diancam tanah runtuh dan hakisan teruk sejak kebelakangan ini.

“Justeru, kelewatan tindakan menangani kejadian itu boleh menyebabkan kemusnahan besar kemudahan, harta benda serta mengancam keselamatan penduduk terbabit,” katanya selepas meninjau kejadian dan akan berusaha menangani keadaan itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini