comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Lima kanak-kanak terkorban dalam kebakaran setinggan

KOTA KINABALU: Seorang bayi, tiga kanak-kanak dan seorang remaja berusia antara setahun hingga 14 tahun maut dalam kebakaran di kawasan setinggan di Lorong Burung Keleto, Likas, di sini, tengah hari tadi.

Berdasarkan maklumat awal, lima mangsa itu adalah anak dua keluarga yang berjiran.

Mangsa yang terkorban dikenali sebagai Raina Adrian, 1, Raida, 3, dan Raisa, 4, ketiga-tiganya adik beradik, manakala dua lagi anak keluarga jiran yang juga adik beradik dikenali sebagai Siti Faridah Wahid, 3, dan kakaknya Almidah, 14.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda, berkata kebakaran dilaporkan bermula kira-kira jam 12.40 tengah hari tadi membabitkan empat rumah dan sebuah gerai.

Katanya, mangsa ditemui rentung dalam bilik mandi salah sebuah rumah yang terbakar dalam kejadian itu.

“Setakat ini, pihak bomba sedang menjalankan kerja-kerja membawa keluar mayat mangsa yang rentung.

“Polis mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Farhan Sufyan Borhan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.47 tengah hari.

Katanya, sepasukan 35 pegawai dan anggota bersama jentera serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Operasi pemadaman dijalankan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dan dibantu BBP Kota Kinabalu, BBP Tuaran dan BBP Putatan.

“Operasi terkawal pada jam 1.29 petang dan Pasukan Bomba masih lagi memadam bara-bara api dan mendapatkan maklumat terperinci berkaitan dengan mangsa yang terlibat,” katanya.

Farhan berkata, semua mangsa sudah berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan Pasukan Forensik JBPM,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini