KUCHING: Lima hari hanyut, tiga daripada empat nelayan yang dilaporkan hilang selepas dua bot karam di perairan Miri, ditemui selamat, hari ini.
Mereka yang berada di dalam tong ikan dan berpaut pada boya sebelum dijumpai oleh pekerja pelantar minyak pada jam 10.30 pagi tadi.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Miri, Kepten Maritim Mohd Shafie Paing berkata, kesemua mangsa dibawa ke pelantar minyak yang terletak 32.5 batu nautika di barat laut Kuala Baram dan menunggu helikopter Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk membawa mereka ke darat.
“Difahamkan salah seorang daripada tiga nelayan yang ditemui selamat itu mengalami kecederaan dan mereka akan dibawa ke Lapangan Terbang Miri untuk pemeriksaan kesihatan dan mendapatkan rawatan lanjut.
“Mangsa yang berjaya ditemui selamat hari ini ialah nelayan yang menaiki bot bernombor pendaftaran SFS3-4334 iaitu Zaidi Nawi 43, Anuar Amin 54 dan Junaidi Jamin 70,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Shafie berkata, operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) kini diteruskan bagi mengesan seorang lagi yang masih hilang, Masni Jana, 60 yang menaiki bot bernombor pendaftaran SFS3-4271.
Dalam kejadian Selasa lalu, dua lagi nelayan yang menggunakan bot pendaftaran SFS3-4271 iaitu Muhammad Firdaus Mustaqim Roly, 35 dan Mohamad Azrul Abdullah, 20, berjaya diselamatkan oleh pasukan CARILAMAT berdekatan pelantar minyak iaitu pada jarak 8.6 batu nautika dari Kuala Baram.
Bot nelayan tempatan itu keluar dari jeti nelayan Piasau Utara pada jam 8.30 pagi Selasa lalu.
Menurutnya lagi, pencarian mangsa keempat hari ini dilaksanakan dalam radius 1,020.64 batu nautika persegi.
“Cuaca hari ini cerah dan keadaan laut tenang dengan ketinggian ombak hanya antara 1.5 meter hingga 2.5 meter,” katanya.
Mohd Shafie berkata, sebanyak lapan aset udara dan laut digerakkan membabitkan dua aset Maritim Malaysia, satu aset Pasukan Polis Marin, satu aset Unit Udara JBPM, dua bot JBPM, satu aset Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta satu aset Sarawak Coast Guard membabitkan keseluruhan anggota penyelamat seramai 108 orang.