![](https://media.buletintv3.my/2023/01/IWSPd2M2-pp-cms-L-41.jpg)
KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, hari ini, menggariskan lima bukti Kerajaan Perpaduan memacu Malaysia ke arah yang lebih baik.
Selaku jurucakap kerajaan, beliau membentangkan prestasi itu dalam siri kedua kad laporan Kerajaan Perpaduan sepanjang tempoh tujuh bulan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerajui Putrajaya.
Yang pertama, katanya, ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan lebih baik berbanding tahun lalu.
Kedua, jumlah pelaburan ke negara ini semakin meningkat berbanding tahun lalu.
Ketiga, kadar inflasi semakin rendah dan mereda berbanding tahun lalu.
Keempat, kebebasan akhbar pada tahun ini mencatatkan kedudukan terbaik dalam sejarahnya, apabila naik 40 anak tangga berbanding tahun lalu.
Kelima, prestasi ekonomi, kecekapan kerajaan dan perniagaan serta infrastruktur yang lebih baik naik lima anak tangga berbanding 2022.
“Ramai yang kata mereka inginkan kerajaan yang boleh bawa Malaysia ke arah yang lebih baik. Adakah Kerajaan Perpaduan berada di landasan yang betul?
“Terbukti dalam tempoh hanya tujuh bulan, Kerajaan Perpaduan telah mentadbir negara ini ke arah yang lebih baik.
“Insya-Allah lima pencapaian ini akan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya generasi baharu pada masa depan,” katanya menerusi video yang dimuat naik di Twitternya malam ini.