Tumpuan :
Nasional

Lima bas persiaran tiada pemandu pelancong dikompaun RM25,000

FOTO: Ihsan MOTAC

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Lima bas persiaran yang membawa pelancong domestik dikompaun RM25,000 selepas dikesan tidak mempunyai pemandu pelancong, di sini.

Kesemua bas terbabit dikenakan tindakan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 dalam operasi bersepadu di sini, Sabtu lalu.

Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Melaka, Jay Yeow C.C berkata, kelima-lima terbabit hanya menggunakan pemandu bas biasa tanpa sijil atau lesen pemandu pelancong.

FOTO: Ihsan MOTAC

Kesemua lima bas terbabit katanya, dikompaun RM5,000 selepas mengakui tidak menggunakan perkhidmatan pemandu pelancong dalam program dilakukan.

“Empat hari lalu kita melakukan operasi bersepadu bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri dan memeriksa sebanyak 20 bas yang membawa pelancong domestik.

“Lima bas didapati melanggar Akta Industri Pelancongan 1992 kerana tiada pemandu pelancong dan setiap kenderaan telah dikenakan kompaun dengan nilai maksimum RM5,000,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media di Bandar Hilir di sini, malam tadi.

Menurut Jay Yeow, soal siasat terhadap pemandu bas memberikan alasan tidak mengetahui syarat tersebut dan menyalahkan syarikat agensi pelancongan yang dilantik.

“Pemandu bas terbabit mendakwa mereka hanya membawa pelancong dan tidak mengetahui peraturan ini kerana kesemuanya diuruskan oleh pihak syarikat ejen pelancongan dibayar.

“Meskipun mereka tidak menggunakan syarikat ejen pelancongan, permohonan pelepasan untuk tidak menggunakan pemandu pelancong perlu diperoleh dan ini kebiasannya membabitkan program lawatan yang dibuat pihak sekolah,” jelasnya.

FOTO: Ihsan MOTAC

Sebanyak 20 bas persiaran diperiksa dalam operasi itu.

Dalam perkembangan lain beliau memberitahu, kira-kira 20 syarikat ejen pelancongan di Melaka telah dibatalkan lesen perniagaannya pada tahun lalu selepas gagal memperbaharui dokumen itu dalam tempoh ditetapkan.

Bagaimanapun tambahnya, kesalahan membabitkan penipuan pakej pelancongan merupakan kes terpencil.

“Siasatan dilakukan mendapati kebanyakan syarikat yang didakwa terlibat tidak lagi menjalankan operasi di lokasi dilaporkan,” katanya.

Loading...
Terkini