Tumpuan :
Nasional

LIMA ’23: 1,600 pegawai, anggota polis bertugas sepanjang LIMA ’23

Jalan Padang Matsirat (berhadapan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi) sesak kerana orang ramai berpusu-pusu mahu menyaksikan latihan pertunjukan udara sempena LIMA ’23. – FOTO: NSTP

LANGKAWI: Lebih 1,600 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dijadualkan bertugas sepanjang Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA ’23), bermula Selasa hingga Sabtu ini.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, berkata ini adalah bagi menjaga keselamatan dan membantu melancarkan aliran trafik sepanjang pameran berprestij itu berlangsung.

“Lebih 1,600 pegawai dan anggota polis digerakkan dan dibawa masuk dari tanah besar ke pulau ini bagi bagi melaksanakan penugasan LIMA ’23 yang kini memasuki edisi ke-16.

“Ini kerana sepanjang acara itu, dijangka Jalan Padang Matsirat, Pantai Chenang dan Pantai Tengah menerima kehadiran kenderaan yang tinggi,” katanya dalam kenyataan di sini, petang ini.

Shariman berkata, Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad telah dipertanggungjawabkan selaku Komander di bawah Jawatankuasa Keselamatan dan Lalulintas sepanjang pameran itu berlangsung.

“Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menghalang lalulintas atau menghentikan kenderaan di tepi jalan sesuka hati kerana ianya boleh menyebabkan kesesakan yang lebih teruk.

“Pengunjung boleh meletakkan kenderaan di padang letak kereta berhadapan Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Langkawi dan hadapan LTAL, kemudian mereka boleh menggunakan bas ‘shuttle’ ke tempat pameran,” katanya.

Beliau berkata, pada masa sama beberapa jalan utama menghala ke LTAL dan Resort World Langkawi akan dijadikan jalan sehala mulai mulai 7 pagi hingga 7 malam dari Selasa hingga Sabtu ini.

“Orang ramai diminta mematuhi arahan daripada anggota polis bertugas dan pengguna jalan raya tidak dibenarkan sama sekali untuk meletakkan kenderaan di bahu jalan kerana ia akan menghalang lalu lintas,” katanya.

Loading...
Terkini